Ahad, 16 Julai 2017 | 2:42pm
NAJIB melayan pengunjung pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di PWTC. - Foto Mohd Yusni Ariffin
NAJIB beramah mesra bersama para tetamu pada majlis Rumah Terbuka UMNO PWTC. - Foto BERNAMA
NAJIB melihat cara penyediaan kuih popiah semasa beramah mesra bersama tetamu pada majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di PWTC. - Foto BERNAMA

Jangan letak negara dalam risiko - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya tidak meletakkan negara risiko dengan memilih pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, berkata gabungan pembangkang diterajui DAP, PKR, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), jelas kabur serta gagal menunjukkan hala tuju jelasnya.

Sebaliknya, katanya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) memiliki hierarki dan penguasaan lebih jelas, malah hala tujunya dalam membawa kejayaan kepada negara tidak boleh disangkal.

"Banyak pihak mengatakan mereka (gabungan pembangkang) meletakkan (negara) dalam risiko yang tinggi, jadi sebagai rakyat biasa mengapa kita perlu untuk berbuat demikian.

"Kita sudah ada UMNO dan BN. Walaupun ada sedikit sebanyak yang mereka tidak senang hati tetapi umumnya kita sudah membuktikan berjaya membawa negara ke tahap boleh dibanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Mengulas majlis rumah terbuka itu, Najib berkata, lebih 50,000 pengunjung yang memeriahkan majlis menunjukkan parti keramat orang Melayu itu terus mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau memuji pengunjung yang sanggup datang awal menunggu sebelum majlis bermula dan berpuas hati dengan semangat tinggi ahli UMNO serta orang ramai.

"Alhamdulillah, sambutan di luar jangkaan sebab awal pagi lagi orang berpusu-pusu dan tak putus-putus sampai ke dewan untuk menjayakan rumah terbuka ini.

"Ini kali pertama kita adakan (rumah terbuka) besar-besaran. Bukan hanya pengunjung dapat bersama, badan perhubungan UMNO seluruh negara dapat bersama dan bersatu di bawah satu bumbung.

"Saya sempat melawat gerai dan bersalaman dengan tetamu. Nampaknya, mereka cukup senang hati dengan majlis ini. Mereka tunjuk semangat yang tinggi menandakan UMNO terus mendapat sokongan," katanya.

149 dibaca
Berita Harian X