Ahad, 16 Julai 2017 | 1:55pm

Barisan kepimpinan baru pembangkang bukan ancaman


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup (kanan) menyertai program berbasikal 'Carbon Neutral Activity 4 - Sun Suria City Eco Charity Bicycle Ride', di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: pengumuman barisan kepimpinan baru pembangkang tidak mampu mengancam mahupun menggugat keutuhan Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup, berkata setiap pemimpin berkenaan mempunyai kepentingan peribadi dalam menerajui pakatan pembangkang itu dan dijangka lebih cenderung untuk mencapai matlamat masing-masing berbanding memperjuangkan hak rakyat.

"Selain kabur dengan hala tuju gabungan mereka, sejarah hubungan dan pertelingkahan tiga pemimpin utama terbabit turut menyukarkan pembangkang untuk sepakat bagi bergerak membentuk gandingan yang mantap.

"Tiga pemimpin utama mereka ada sejarah tersendiri iaitu tidak boleh bertentang mata sebelum ini yang tentunya mewujudkan suasana sukar dalam membuat keputusan di kalangan mereka.

"Bila antara mereka sudah ada perasaan seperti ini, bagaimana boleh bergerak senada bagi membentuk pakatan yang mantap," katanya kepada pemberita selepas menyertai program berbasikal 'Carbon Neutral Activity 4 - Sun Suria City Eco Charity Bicycle Ride', di sini hari ini.

Joseph berkata demikian mengulas pelantikan terbaru pakatan pembangkang yang menyaksikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi; Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketua umum) dan isteri Anwar, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Turut diumumkan ialah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) sebagai timbalan presiden.

Tambah beliau, yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), ketiga-tiga mereka memang dilihat seakan bekerjasama, namun hakikatnya hanya tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

"Sebab itu saya yakin ia tidak akan menggugat kekuatan dan peluang BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), khususnya di Sabah, " katanya.

56 dibaca
Berita Harian X