Ahad, 16 Julai 2017 | 1:34pm

BN ada formula khusus rampas Parlimen Stampin


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas semula kerusi Parlimen Stampin yang terlepas kepada parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keyakinan itu berasaskan formula khusus yang terbukti berkesan pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) tahun lalu.

Beliau berkata, formula itu digunakan ketika BN berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa dari DAP selain memenangi kawasan DUN baharu, Batu Kitang.

"Saya yakin formula itu masih relevan dan mampu memastikan Stampin akan menjadi milik BN semula," katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Batu Kitang di Kampung Haji Baki, di sini, hari ini.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong dan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Batu Kitang berkata, selain formula khusus itu, faktor pengundi Bumiputera juga menjamin kekuatan BN di Stampin.

"Dua kawasan DUN di Stampin ini memiliki pengundi Bumiputera yang ramai iaitu meliputi 40 peratus pengundi di DUN Batu Kitang dan 39 peratus di Batu Kawa.

"Saya yakin kesetiaan pengundi Bumiputera terhadap BN tidak berbelah bagi," katanya.

Pada PRU-13, calon DAP, Julian Tan Kok Ping yang memperolehi 41,663 undi menang dengan majoriti 18, 670 undi menewaskan calon BN, Datuk Yong Khoon Seng yang memperolehi 22,993 undi dan calon STAR, Lina Soo yang sekadar meraih 239 undi.

141 dibaca
Berita Harian X