Sabtu, 15 Julai 2017 | 10:00pm

Kepimpinan pembangkang 'berebut tempat'


AHLI Majlis Tertinggi UMNO merangkap Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika sidang media sebelum Perasmian Persidangan UMNO 2017 Bahagian Bayan Baru di Hotel Vistana, Bayan Baru, Pulau Pinang. - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Pembangkang gagal mencapai kata sepakat, apabila gabungan itu mengetengahkan komposisi kepemimpinan yang dilihat bercelaru.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata komposisi kepemimpinan pembangkang jelas tidak mempunyai persefahaman, selain mereka dilihat 'berusaha merebut tempat' dalam gabungan itu.

"Mana-mana organisasi bila dicantumkan menjadi satu hanya akan mengetengahkan seorang Pengerusi, contohnya Barisan Nasional (BN)

"Sebaliknya, pembangkang mengetengahkan tiga jawatan utama dalam satu gabungan, iaitu ketua umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim), pengerusi (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan presiden (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

"Justeru, wujud persoalan siapa yang akan mempunyai kuasa untuk memuktamadkan sesuatu perkara, selain tindakan mereka ini dilihat hanya mahu mengaburi pandangan pengundi Melayu di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas komposisi kepemimpinan gabungan pembangkang pada Persidangan UMNO Bahagian Bayan Baru di sini, malam ini.

Mahdzir berkata, komposisi kepemimpinan gabungan pembangkang itu gagal memberi impak kepada masyarakat, mahu pun muncul sebagai saingan kepada BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Mereka ini (gabungan pembangkang) daripada awal lagi sudah nampak seperti 'tidur satu katil, tetapi mimpi lain-lain'. Bagaimanapun, itulah yang dipersetujui mereka dalam mesyuarat yang tamat hingga larut malam, tempoh hari," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau akan memberi penjelasan lanjut berhubung isu pemberhentian elaun sara hidup bagi pelajar Pengajian Program Ijazah Perguruan mulai Jun tahun hadapan, dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X