Jumaat, 12 Oktober 2018 | 5:10pm
Pengarah Strategik Country Garden Pacific View (CGPV), Ng Zhu Hann (tengah) diiringi pengetua, Nor Hafizah Abdul Wahab (belakang, empat dari kiri) beramah mesra dengan pelajar ketika Seminar SPM 2018 anjuran Forest City di SMK Tanjung Adang, Gelang Patah. - Foto Hairul Anuar Rahim

Memperkasa komuniti melalui pendidikan - Forest City

GELANG PATAH: Forest City menyasar untuk melahirkan generasi pelajar yang bukan setakat berpengetahuan tinggi dan mampu berfikir secara kritis, malah, dapat menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta kemajuan negara.

Pengarah Strategi Country Garden Pacific View (CGPV) Sdn Bhd, Ng Zhu Hann, berkata sasaran itu sejajar dengan projek yang difokuskan syarikat terbabit iaitu meningkatkan pembangunan pendidikan masyarakat setempat secara menyeluruh.

Katanya, sebagai syarikat pembangunan hartanah, Forest City komited memastikan peningkatan taraf hidup komuniti terus diperkasa merangkumi aspek ekonomi, sosial dan pemikiran intelektual.

“Kami percaya setiap kemajuan, perubahan dan kecemerlangan kehidupan individu, masyarakat serta negara banyak dibantu melalui pendidikan yang baik.

“Forest City banyak melaksanakan program berteraskan bidang pendidikan seperti Seminar SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang kami anjurkan dengan kerjasama BH ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Seminar SPM 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengetua SMK Tanjung Adang, Noor Hafizah Abdul Wahab.

Program disertai seramai 80 peserta itu bermatlamat memberi pendedahan berhubung panduan dan kaedah belajar secara berkesan bagi calon yang akan menduduki SPM bulan hadapan.

Zhu Hann berkata, usaha murni dilaksana pihaknya diharap dapat melahirkan lebih ramai masyarakat berilmu tinggi, sekali gus berupaya menyumbang bakti untuk manfaat bersama.

Sementara itu, Noor Hafizah berkata, seminar pendidikan berkenaan adalah peluang bermakna kepada pelajarnya terutama bagi memperoleh pencapaian terbaik dalam SPM.

Katanya, pelajar mestilah memanfaatkan pengetahuan dikongsikan penceramah berpengetahuan luas berkepakaran tinggi itu dengan sebaiknya.

“Program berimpak ini dapat meningkatkan pengetahuan akademik pelajar, sikap positif dan dapat menyumbang kepada aspek pendidikan komuniti serta membina jaringan antara sekolah dengan organisasi korporat,” katanya.

Sementara itu, peserta, Nor Aisyah Hamdan, 17, berkata seminar itu dapat membantunya bagi menjawab soalan peperiksaan dengan mudah dan menepati kehendak pemeriksa.

“Terima kasih Forest City dan BH kerana memberikan peluang (seminar) seumpama ini. Saya akan gunakan ilmu ini sebaiknya dalam SPM nanti,” katanya.

158 dibaca
Berita Harian X