Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:41pm
Muhammad Amir (empat dari kiri), Mohd Fadzli (lima dari kiri) dan Mohd Fauzi (enam dari kiri) bergambar bersama-sama pelajar yang menyertai Seminar Didik Rakyat SPM YBR-BH 2018 di SMK Usukan, Kota Belud, baru-baru ini. - NSTP/Khairull Azry Bidin.

YBR bantu calon SPM

KOTA BELUD: Setiap pelajar perlu mengenal pasti bidang yang mereka minati untuk diceburi sebagai suatu kerjaya pada masa depan supaya apa saja yang dilakukan ketika ini akan dilaksanakan seperti yang diimpikan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat (YBR), Muhammad Ammir Haron, berkata pelajar perlu meluangkan masa mengenal diri sendiri dan mengkaji pilihan bidang yang mahu disertai agar mereka tidak berasa terpaksa melakukan sesuatu pekerjaan pada masa akan datang.

“Jika kita minat menjadi guru, tanya cikgu mengapa mereka memilih kerjaya itu dan bagaimana panduan untuk menjadi pendidik berjaya, begitu juga untuk kerjaya lain.

“Apabila melakukan sesuatu yang kita seronok, pastinya kita akan melakukan yang terbaik dan begitu juga dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Didik Rakyat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) YBR-BH 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Usukan, di sini, baru-baru ini.

Seramai 250 calon SPM di daerah ini menyertai seminar itu yang dianjurkan YBR dengan kerjasama BH.

Yang turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Mohd Fadzli Abd Rozan; Pengurus Pentadbiran dan Pembangunan Modal Insan YBR, Mohd Fauzi Md Fadzil; Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kota Belud, Mohd Hassanal Yusuf dan Pengetua SMK Usukan, Masnon Maswan.

Seminar itu dianjurkan bagi membantu calon berkaitan teknik menjawab soalan SPM dengan berkesan dan cara meraih markah yang tinggi.

Tahun ini, YBR menganjurkan sebanyak 60 seminar membabitkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan SPM yang diadakan di seluruh negara.

Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, peserta daripada sembilan sekolah sekitar daerah itu beruntung kerana terpilih untuk mengikuti seminar terbabit kerana bukan semua calon mendapat peluang menyertainya.

Katanya, usaha yang dilakukan YBR dan BH itu harus diberi pujian dan dicontohi agensi lain dalam usaha meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan di negara ini.

“Bagi membalas jasa pihak yang menganjurkan program ini, peserta perlu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti,” katanya.

103 dibaca
Berita Harian X