Selasa, 9 Oktober 2018 | 3:21pm
Mohd Zamri Ahmad (belakang kiri) ditemani Guru Penolong Kanan dan Kokurikulum SK Bandar Baru Sentul, Zulkifli Mahmad bersama-sama ahli Kelab Tae Kwan Do SKBBS.

Ahli tae kwan do SKBBS bersemangat waja

SENTUL: Komitmen ahli Kelab Tae Kwan Do Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul (SKBBS) yang sanggup turun padang untuk membuat latihan biarpun sewaktu cuti persekolahan membuahkan hasil apabila berjaya meraih pingat pada kejohanan peringkat zon Sentul, baru-baru ini.

Guru Besarnya, Mohd Zamri Ahmad, berkata kegigihan murid menjalani latihan mengikut jadual disediakan ketua jurulatih, Balakrishnan Theraman dan Wan Zainun Abu Bakar mendorong kepada kejayaan ahli tae kwan do sekolah itu meraih kejayaan dalam beberapa kejohanan yang disertai.

“Walaupun ahli tae kwan do sekolah ini terdiri daripada murid tahap satu, mereka tetap bersemangat setiap kali membawa nama sekolah ke peringkat zon.

“Ahli tae kwan do SKBBS akan memberi saingan hebat kepada pihak lawan dan ini terbukti apabila mereka membawa pulang lima pingat gangsa dan tiga pingat perak pada Kejohanan Tae Kwan Do Majlis Sukan Sekolah (MSSM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Julai lalu,” katanya.


Pasukan tae kwan do SKBBS melakukan sesi latihan di SK Bandar Baru Sentul.

Latihan yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa yang tidak pernah berhenti memberi komitmen seperti menghantar anak mereka ke sekolah walaupun bukan pada sesi persekolahan.

Mohd Zamri berkata, ibu bapa kepada ahli Kelab Tae Kwan Do SKBBS juga banyak mengorbankan masa dengan menghantar anak-anak ke kejohanan luar bagi memberi pengalaman berbeza kepada mereka.

“Ada juga ibu bapa yang sanggup menemani anak mereka sepanjang kejohanan berlangsung dan sokongan ini menguatkan semangat kami sebagai pentadbir dan guru pengiring untuk melihat bakal atlet kebangsaan dilahirkan dari sekolah ini,” katanya.

INFO

Kelab Tae Kwan Do SKBBS terdiri daripada 15 ahli termasuk ahli pelapis daripada Tahap Satu

67 dibaca
Berita Harian X