Isnin, 8 Oktober 2018 | 11:56am
Mohd Azmi (tengah) menyampaikan Anugerah Pengarah PSAS kepada graduan cemerlang, Nur Idayu Natikun (kanan) pada Istiadat Konvokesyen PSAS ke-16 di Dewan Muallim, PSAS, Behrang, baru-baru ini.STR/ROSMAN SHAMSUDIN

Graduan perlu manfaat ilmu dalam kerjaya

BEHRANG: Graduan harus menggunakan semua ilmu dan kemahiran yang diperoleh sebagai panduan dalam usaha untuk memajukan diri serta organisasi yang bakal diceburi.

Pengarah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Dr Naimah Md Khalil, berkata kecemerlangan yang dikecapi graduan sebaik bergraduat bukan kemuncak kepada pencapaian dalam hidup, sebaliknya adalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan.

"Graduan perlu menterjemahkan semua ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian di PSAS dalam kerjaya, selain membuktikan kebolehan diri mereka untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

“Saya juga berharap, graduan sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa yang banyak berusaha, berkorban masa, tenaga dan wang ringgit dalam memastikan anak mereka mendapat peluang untuk mencapai kejayaan," katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen PSAS Ke-16 2018 di Dewan Muallim PSAS, di sini, kelmarin.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Presiden Institut Bahan Malaysia (IMM), Mohd Azmi Mohd Noor.

Istiadat Konvokesyen PSAS yang membabitkan empat sidang itu meraikan seramai 1,431 graduan ijazah sarjana muda dan diploma daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Perdagangan.

Selain itu, pada istiadat berkenaan turut disampaikan Anugerah Pengarah PSAS, Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Anugerah Projek Terbaik dan Anugerah Projek Terbaik (Tesis).

Beliau berkata, PSAS sentiasa memastikan hasrat melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang menjadi satu daripada agenda dalam mempersiapkan pelajar dan graduan dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan masa kini.

“Kami bukan saja berusaha meningkatkan tahap penyampaian pengajaran dan perkhidmatan agar memenuhi keperluan pelajar, malah menggembleng usaha untuk meletakkan institusi sebagai institusi latihan dan pendidikan yang berprestasi tinggi serta menjadi pilihan utama dalam kalangan pelajar, ibu bapa mahu pun pihak industri.

“Semua warga PSAS akan berusaha gigih dalam menjamin segala perancangan dan aspirasi yang dirangka dapat dilaksanakan secara optimum,” katanya.

Info

Konvokesyen PSAS

* Pada sidang pertama, seramai 392 graduan menerima ijazah sarjana muda dan diploma membabitkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Reka Bentuk Automatif) Dengan Kepujian; Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automatif); Diploma Kejuruteraan Mekatronik; Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan).

* Seramai 561 iaitu 39.2 peratus daripada jumlah graduan berjaya memperoleh himpunan purata nilai mata (HPNM) 3.00.

* 87 graduan berjaya menamatkan pengajian dengan pencapaian himpunan purata nilai mata (HPNM) 3.50 ke atas.

232 dibaca
Berita Harian X