Selasa, 15 Mei 2018 | 7:50am
SHAFEZAH (tiga dari kiri) bersama anak autisme pada program Suspended Meal sempena Hari Ibu anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka dan Shah Alam di Taman Botani Negara, Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

NGO, UiTM rai ibu dan anak autisme

SHAH ALAM: Seramai 20 Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu autisme seawal usia empat hingga 32 tahun menyertai program Suspended Meal bersama ibu dan anak autisme di Taman Botani Negara di sini, baru-baru ini.

Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Melaka yang juga Pengasas Suspended Meal, Shafezah Abdul Wahab, berkata program itu bertujuan meraikan anak autisme bersama ibu mereka sempena Hari Ibu.

"Suspended meal satu badan bukan kerajaan (NGO) yang pada awalnya menyediakan makanan percuma kepada pelajar di kampus UiTM Melaka sejak 2016, sebelum mula melakukannya di luar kampus tahun lalu.

"Aktiviti yang dijalankan antaranya memberi bantuan makanan kepada gelandangan di pusat gelandangan di Kuala Lumpur dan sempena hari ibu, kami ingin lakukan kelainan dengan meraikan ibu kepada anak-anak istimewa ini," katanya.

Program itu turut disertai seramai 50 penuntut kursus Sarjana Muda Komunikasi Antarapersonal UiTM Shah Alam dan sukarelawan pusat jagaan khas anak autisme, Rumah Jagaan Sayang.

Sementara itu, ibu kepada anak autisme, Shaliza Mohd Khidir, 43 berkata program berkenaan berupaya meningkatkan kemahiran sosial golongan terbabit.

"Saya dan suami mula sedar anak Hud Zafry Azlan, 10, autisme pada usianya tiga tahun kerana dia tidak boleh bercakap dan tiada 'eye contact' ketika kami bercakap.

"Namun, kami bersyukur kerana selepas dilatih dan diberi tunjuk ajar, dia boleh berdikari malah bersekolah di sekolah biasa seperti kanak-kanak normal lain," katanya.

Kata Shaliza, jika berkesempatan menyertai program seumpama itu, dia tidak akan sesekali melepaskannya kerana anak autisme sukar bergaul terutama dengan rakan sebaya.

495 dibaca
Berita Harian X