Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:51pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad bergambar kenangan bersama murid-murid sekolah yang menyertai persembahan sempena majlis pelepasan Program Jelajah Pendidikan hari ini. - Foto BERNAMA

Jelajah jelaskan isu, perkembangan pendidikan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan lagi program Jelajah Pendidikan KPM, tahun ini, bertujuan memberi maklumat berkaitan isu dan perkembangan terkini bidang pendidikan kepada rakyat.

Program bermula hari ini akan menjelajah ke enam bandar di enam negeri hingga April depan.

Lokasi terbabit ialah Kajang, Selangor (9 - 11 Februari); Langkawi, Kedah (22 - 24 Februari); Pasir Puteh, Kelantan (8 - 10 Mac); Parit Buntar, Perak (30 Mac - 1 April); Temerloh, Pahang (13 - 15 April) dan Tawau, Sabah (20 - 22 April).

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata program bertema 'Peneraju Perubahan Dalam Bidang Pendidikan' itu diadakan susulan kejayaan program sama tahun lalu yang mencapai sasaran 100,000 orang kumpulan sasar di sembilan bandar utama.

"Berikutan kejayaan itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersetuju untuk kita meneruskan program ini di bandar yang tidak diliputi tahun lalu.

"Melalui siri jelajah ini, kita akan memberi penjelasan lebih terperinci mengenai dasar dan transformasi gelombang baharu dalam kementerian, yang mana sebahagian masyarakat tahu mengenainya, cuma tidak begitu memahami.

"Kita juga akan menjelaskan mengenai isu pendidikan berbangkit kerana mendapati ada sesetengah pihak mengambil kesempatan dan mengelirukan orang ramai berkaitan isu ini," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Program Jelajah KPM 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Selain pameran mengenai kejayaan bidang pendidikan dan keberhasilan pelajar melalui pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, Alias berkata, pelbagai aktiviti lapangan yang mesra rakyat juga akan diadakan.

"Kita mengadakan dialog dan sesi ceramah memperkenalkan produk serta transformasi kementerian kepada rakyat.

"Program ini adalah 'jelajah rakan sejati rakyat' kerana selain memberi perkhidmatan, KPM juga adalah rakan sejati rakyat," katanya.

Program Jelajah Pendidikan KPM 2018 yang membabitkan 200 pegawai peringkat kementerian, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah, dimulakan hari ini dengan gotong-royong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Beranang, Semenyih.

Program diteruskan esok dengan Program Penerangan Dasar KPM dan bersama warga pendidik Selangor di SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang.

211 dibaca
Berita Harian X