Khamis, 8 Februari 2018 | 10:32pm
Pelajar FKEE UTHM ceria selepas menjalani PdP kaedah PoPBL.
SESI pembentangan rekabentuk oleh pelajar kepada juri.

Cabaran dapur solar asah potensi bakal jurutera

KUALA LUMPUR: Memasak menggunakan haba cahaya matahari antara cabaran dilontarkan kepada pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk melahirkan generasi yang mampu mengolah ilmu bagi menyelesaikan masalah.

Inisiatif dilaksanakan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM terhadap pelajar kursus teras Analisis Litar Elektrik 1 (BEF12403) itu tepat pada masanya sejajar Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0).

Pensyarah program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian di fakulti itu, Prof Madya Dr Afandi Ahmad, berkata dasar Industri 4.0 menekankan universiti untuk mempelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa terlalu tumpukan kepada kandungan ilmiah dan teknikal.

Katanya, dengan memberi tumpuan kepada 'hasil akhir' dan membina keupayaan pelajar meliputi aspek nilai dan kemahiran insaniah (KI), graduan yang memasuki alam pekerjaan kelak bakal memiliki sifat holistik, selari kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT).


PENSYARAH kursus menerusi kursus teras Analisa Litar Elektrik 1 (BEF12403) program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian UTHM, Prof Madya Dr Afandi Ahmad (duduk) memberi penerangan mengenai dapur solar kepada pelajarnya.

"Kami laksanakan inisiatif ini mengikut Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah Berorientasikan Projek (PoPBL) yang kini menjadi teras pembelajaran dan terbukti berjaya di Aalborg University, Denmark.

"Berdasarkan pengalaman melaksanakan kajian di Aalborg University, kaedah itu mampu membentuk potensi pelajar unggul apabila mereka didedahkan dengan masalah sebenar, mencari penyelesaian dan menyelesaikannya secara berkumpulan.

"Menerusi PoPBL, pelajar kursus teras Analisis Litar Elektrik 1 diberikan cabaran meneroka potensi membangunkan kemudahan memasak untuk aktiviti luar dengan hanya menggunakan dapur solar," katanya di sini, baru-baru ini.


PELAJAR membuat pembentangan mengenai projek mereka kepada juri.

Mengulas cabaran dapur solar, beliau yang juga Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Perhubungan Korporat) UTHM, berkata pelajar perlu membangunkan reka bentuk dapur solar secara berkumpulan dengan kos paling minimum dan sumber terpakai.

Katanya, terdapat tiga domain utama pembelajaran akan dinilai iaitu aspek kognitif, afektif dan psikomotor termasuk menguruskan projek, mengenal pasti masalah, mencadangkan penyelesaian, melakukan analisis, simulasi litar, mencadangkan model dan mengujinya.

"Produk yang dihasilkan boleh memberi manfaat kepada penggemar aktiviti luar, berkelah dan berkhemah, selain memahami kelebihan iklim Khatulistiwa Malaysia dan menghargai potensi tenaga suria sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.

"Pelbagai reka bentuk berjaya dihasilkan seperti parabolik, persegi dan hibrid dibangunkan menerusi bahan terpakai seperti rangka payung dan tin biskut bagi menghasilkan sebuah dapur solar terbaik.

"Kami dapati pelajar tahun pertama semester pertama kursus ini teruja dengan pengalaman mencabar terbabit kerana mereka tidak pernah didedahkan dengan pembelajaran seperti ini sama ada di peringkat asasi, matrikulasi dan Tingkatan Enam," katanya.

Berita Harian X