Rabu, 7 Februari 2018 | 1:53am
PERSATUAN Pelajar Malaysia di Turki (MASAT) telah mengambil inisiatif menganjurkan Persidangan Bosphorus yang menghimpunkan lebih 30 perwakilan pelajar Malaysia dari 17 negara yang telah diadakan di Istanbul. - Foto BERNAMA

MASAT berjaya anjur Persidangan Bosphorus di Istanbul

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelajar Malaysia di Turki (MASAT) berjaya menganjurkan Persidangan Bosphorus dari 24 Januari 28 Januari lalu di Istanbul, bertujuan menjadi platform penyatuan antara persatuan rasmi dan bukan rasmi pelajar Malaysia dari 17 negara.

Presiden MASAT, Muhammad Ahmad Zahid dalam satu kenyataan malam tadi, berkata persidangan yang bertemakan 'Menyusun Idea, Melakar Tamadun' itu turut menjadi pentas perbincangan selain menyuarakan pandangan secara ideal dan bebas yang meliputi isu masyarakat.

"Beberapa sesi dikendalikan bagi lima kluster utama iaitu politik, ekonomi, pendidikan dan belia, wanita dan masyarakat serta seni dan budaya dengan pembentangan kertas kerja dan bengkel bagi kesemua sesi.

"Kesemua resolusi yang dikumpul meliputi cadangan khusus daripada perwakilan sebagai satu dasar alternatif yang mengumpulkan beberapa penyelesaian utama dalam politik, ekonomi dan pendidikan," katanya.

Muhammad berkata resolusi tersebut akan diserahkan menerusi beberapa fasa kepada semua blok besar politik di Malaysia dan badan bukan kerajaan.

"Persidangan dirasmikan oleh anak Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan iaitu Bilal Erdogan dan diakhiri dengan pertemuan bersama Presiden," katanya.

Antara perwakilan pelajar yang hadir di persidangan itu adalah dari Turki, Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Indonesia, Sudan, Mesir, Maghribi, Belgium, Arab Saudi, Yaman, Perancis, Jerman, Rusia, Sepanyol dan Jordan. - BERNAMA

550 dibaca
Berita Harian X