Selasa, 30 Januari 2018 | 12:00am
KUANTAN 26 JANUARI 2018. (KNB866A) Pensyarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Husna Hawa Mohd menunjukkan bahan pengawet, Eugenia Polyantha (EP) Naturel dihasilkan daripada serbuk daun pokok serai kayu yang antaranya membolehkan minyak masak digunakan berulang kali sehingga 70 kali penggunaan tanpa mengubah rasa, bau dan warna. STR/MOHD RAFI MAMAT
NIK Hairiah (kanan) dan Nor Azila bersama pokok serai kayu yang berjaya menghasilkan bahan pengawet, EP Naturel. - Foto Mohd Rafi Mamat
KETUA Jabatan Teknologi Makanan, Fatimah Bariah Omar bersama piala dan medal hasil kemenangan penyelidikan EP Naturel. - Foto Mohd Rafi Mamat
PENSYARAH POLISAS menunjukkan EP Naturel yang dihasilkan daripada serbuk daun pokok serai kayu yang antaranya membolehkan minyak masak digunakan berulang kali sehingga 70 kali penggunaan tanpa mengubah rasa, bau dan warna. - Foto Mohd Rafi Mamat

Pengawet minyak masak pakai semula 70 kali

KUANTAN: Pensyarah Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) di sini berjaya membangunkan bahan pengawet, Eugenia Polyantha (EP) Naturel daripada daun serai kayu yang antaranya membolehkan minyak masak digunakan berulang kali.

Penggunaan EP Naturel dihasilkan enam pensyarah dari Jabatan Teknologi Makanan (JTM) POLISAS yang diketuai Husna Hawa Mohd Hassan membolehkan minyak masak digunakan sehingga 70 kali tanpa mengubah rasa, bau dan warna.

Pensyarah lain yang turut terbabit menghasilkan EP Naturel ialah Nor Azila Maskam, Nik Hairiah Nik Mohamad Ravi, Nordalilah Wahab, Iman Abdullah dan Ikhmal Hisham Abdul Halim.

Husna Hawa berkata, mereka mengambil masa enam tahun untuk menghasilkannya selepas melalui pelbagai proses penyelidikan teliti dan turut mendapat geran sebanyak RM91,000 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Katanya, minyak masak pelbagai jenama berada di pasaran pada masa kini mengandungi campuran bahan kimia lain yang berfungsi memastikannya dalam keadaan baik dan tahan lebih lama.

"Kadar penggunaan EP Naturel dalam minyak masak ialah 0.02 peratus bagi setiap satu kilogram minyak dan bahan pengawet dihasilkan daripada serbuk daun serai kayu itu sesuai dicampur dalam minyak kelapa sawit dan kelapa.


PENSYARAH dari Jabatan Teknologi Makanan (JTM) POLISAS berjaya menghasilkan serbuk teh dan biskut daripada daun pokok serai kayu. - Foto Mohd Rafi Mamat

PENSYARAH POLISAS melakukan proses mengeringkan daun pokok serai kayu menggunakan ketuhar sebelum dikisar. - Foto Mohd Rafi Mamat

"Selain kos murah, penggunaan EP Naturel juga dapat mencegah penyakit kanser disebabkan penggunaan minyak masak secara berulang kali, terutama dalam kalangan peniaga makanan di pasar malam," katanya ketika ditemui BH di sini.

Husna Hawa berkata, beberapa proses diperlukan bagi menghasilkan EP Naturel dan pokok serai kayu yang banyak tumbuh liar membolehkan produk terbabit dihasilkan tanpa memerlukan modal besar.

"Saya sedia berkongsi formula dengan pihak berminat mengkomersialkan EP Naturel. Ia mampu menembusi pasaran dalam dan luar negara jika mendapat sokongan syarikat terkemuka.

Sementara itu, Nor Azila berkata, pendapatan masyarakat di kampung yang mengusahakan tanaman pokok serai kayu mampu ditingkatkan sekiranya EP Naturel dapat dikomersialkan di pasaran.

"Sebagai pensyarah di POLISAS, menjadi kebanggaan sekiranya ada pihak sanggup mengkomersialkan hasil inovasi kami bagi kegunaan serta manfaat rakyat negara ini," katanya.

INFO
EP Naturel:

  • Membolehkan minyak masak digunakan sehingga 70 kali tanpa mengubah rasa, bau dan warna.
  • Diperbuat daripada serbuk daun pokok serai kayu.
  • Dapat mencegah penyakit kanser.
Berita Harian X