Sabtu, 27 Januari 2018 | 4:33pm
SADDI menemui penduduk ketika membuat tinjauan di Kampung Paris 3, di Sukau. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Percepat pembinaan SMK Paris

SUKAU: Kerajaan Pusat mesti mempercepat pembinaan bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paris yang berkongsi dengan bangunan sekolah rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata pembinaan bagi bangunan baharu sekolah itu yang menumpang sejak tahun 2000 sudah diluluskan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), bagaimanapun belum dilaksanakan.

Katanya, sekolah terbabit semakin sesak dan mengalami pelbagai kerosakan, manakala hanya beberapa rumah guru disediakan.

Beliau berkata, keadaan itu memberi kesan negatif kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

"Saya sering bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat kerana ia keperluan mendesak pelajar, guru dan ibu bapa di sini.

"Saya difahamkan sekolah ini dijadualkan untuk dibina tahun ini dan tapak juga sudah tersedia, bagaimanapun belum ada tanda ia akan bermula dan kita harap kerajaan segerakan projek ini demi keselesaan dan keselamatan guru serta pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di SMK Paris, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Paris, Dr Dalmansa Tahil dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Sukau, Amirudin Mohd Damit.

Saddi yang juga Pengerusi Korporasi Pembangunan Desa berkata, selain SMK Paris, sebuah lagi sekolah yang masih menunggu pembinaan bangunan sekolah baharu ialah SMK Sukau.

Katanya, sekolah terbabit masih menggunakan bangunan lama yang semakin uzur.

Sementara itu, Dalmansa berkata, ketika ini, ada seramai 586 pelajar di sekolah itu yang menggunakan empat bangunan kayu.

Katanya, sebahagian guru di sekolah berkenaan juga terpaksa menyewa di luar, termasuk Lahad Datu yang terletak kira-kira 40 kilometer dari sekolah itu kerana kekurangan rumah guru.

414 dibaca
Berita Harian X