Khamis, 11 Januari 2018 | 9:40pm
NAIB Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali (dua dari kiri) bertukar dokumen bersama Ketua Perusahaan Maxis, Loong Tuck Weng (dua dari kanan) sambil disaksikan Pengerusi Maxis, Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (tengah) pada majlis menandatangi perjanjian kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan Maxis berhad merealisasikan kampus digital di Bangunan Canselori UKM. Turut serta Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal (kiri) dan Ketua Produk Perusahaan Maxis, Shanti Jusnita Johari. - Foto Saddam Yusoff

UKM jadi kampus digital pertama negara

BANGI: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama negara bergelar 'kampus digital' apabila bakal mendapat perkhidmatan WiFi berkelajuan tinggi di semua kampusnya di seluruh negara.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata sejumlah 30,000 pelajar UKM bakal menikmati pengalaman 'sentiasa terhubung' bila-bila masa di mana jua menerusi rangkaian 4G LTE terbaik di negara ini.

Beliau berkata, selain pelajar, seluruh warga universiti itu akan menggunakan kemudahan berkenaan dalam melicinkan pelaksanaan aktiviti seperti penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta rangkaian masyarakat dan industri.

"Dalam era Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) ini banyak perkara sudah mengalami proses digital dan pendidikan tinggi tidak terkecuali, jadi dengan kemudahan yang diterima ini memberi peluang untuk UKM meneroka ilmu baharu serta menghasilkan bakat berdaya saing.

"Ia juga sejajar dengan hasrat yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam Amanat Tahun Baharu 2018 yang ingin melihat IPT bersedia menghadapi pendidikan 4.0 dengan penekanan terhadap tiga elemen utama iaitu pengetahuan, industri dan kemanusiaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara UKM dengan Maxis, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UKM diwakili Noor Azlan, manakala Ketua Perniagaan Maxis, Loong Tuck Weng mewakili syarikat telekomunikasi itu.

Hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama itu, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Ketua Produk Perusahaan Maxis, Shanti Jusnita Johari.

Yang turut hadir Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Sementara itu, Shanti Jusnita berkata, pihaknya menyedari pendidikan adalah sektor kritikal, justeru akses kepada komunikasi dan teknologi canggih dapat memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan.

Katanya, kerjasama tiga tahun itu juga meliputi inisiatif pembangunan pelajar seperti peluang latihan dengan Maxis, program keusahawanan pelajar, ceramah kepemimpinan dan program lain.

"Selain akses WiFi di 13 fakulti, bas UKM terpilih yang menggunakan laluan kampus Bangi juga akan dilengkapi kemudahan itu bagi memastikan pelajarnya sentiasa mampu disambungkan ke internet ketika dalam perjalanan," katanya.

1663 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »