Khamis, 11 Januari 2018 | 5:22pm

PERMATApintar cari murid bijak, intelek

BANGI: Pencarian murid pintar dan memiliki daya intelektual tinggi dikendalikan oleh Pusat PERMATApintar Negara kini dibuka melalui ujian saringan pertama iaitu Ujian UKM1 yang dijalankan secara dalam talian bermula hari ini sehingga 31 Mei depan.

Ketua Program Pencarian dan Pengurusan Bakat Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Siti Fatimah Mohd Yassin, berkata Ujian UKM1 adalah ujian saringan pertama untuk murid berusia 8 hingga 15 tahun yang dijalankan sejak tahun 2009.

Beliau berkata, ujian ini secara rasminya dibuka mulai 1 Februari hingga 31 Mei setiap tahun, bagaimanapun untuk tahun ini, ujian saringan pertama dibuka lebih awal.

"Ujian saringan ini adalah untuk mencari murid berbakat dan memilki daya intelektual tinggi bagi menyertai program yang dikendalikan oleh Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej PERMATA Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

"Murid yang berminat boleh mendaftar dan mengambil ujian di laman web http://ukm1.permatapintar.edu.my.

"Ujian dalam talian ini adalah percuma serta boleh diduduki tanpa halangan birokrasi sama ada di sekolah atau rumah," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Ujian UKM1 adalah sebahagian usaha pencarian dan pengurusan bakat intelek yang dikendalikan oleh Pusat PERMATApintar Negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN); Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kolej PERMATA Insan USIM; sekolah dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Siti Fatimah berkata, bagi menduduki ujian itu, murid hanya perlu mengetahui perkara asas penggunaan komputer seperti menggunakan tetikus, pad sentuh dan papan kekunci.

Beliau berkata, jika murid menangguhkan sementara pengambilan ujian atau talian terputus, mereka boleh menyambung semula ujian pada waktu lain sehingga tamat.

Katanya, murid yang berjaya menamatkan ujian boleh mendapatkan Sijil Penyertaan Ujian Pencarian Bakat UKM1 peringkat Kebangsaan Tahun 2018.

"Skor minimum diperlukan bagi mendapat sijil ini dan jika tidak mencapai skor yang ditetapkan sijil tidak akan dikeluarkan," katanya yang setiap pemohon perlu memastikan kod sekolah adalah betul sebelum dicetak.

"Jika murid melepasi skor kelayakan mereka akan ditawarkan untuk menyertai ujian saringan kedua UKM2 secara terkawal yang akan diadakan pada Julai hingga Ogos depan," katanya.

Beliau berkata, murid juga boleh mengemaskini maklumat dan mencetak semula sijil penyertaan jika terdapat kesilapan di alamat http://pelajar.permatapintar.edu.my/.

Sehubungan itu, katanya, sebarang maklumat lanjut orang ramai boleh mengemukakan pertanyaan melalui emel permatapintar@ukm.edu.my.

828 dibaca
Berita Harian X