Rabu, 10 Januari 2018 | 3:41pm
NAIB Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim mencuba aplikasi UMP Valid8 untuk mengesahkan ketulenan ijazah dan graduan menggunakan sijil palsu dalam majlis pelancaran aplikasi tersebut di UMP kampus Gambang hari ini. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
PENGARAH Pusat Kecemerlangan IBM UMP, Dr Mohamed Ariff Ameedeen (dua dari kiri) bersama Dekan UMP, Prof Dr Mohd Ridzuan Darun (tiga dari kanan) mendengar keterangan dari pelajar UMP mengenai applikasi UMP Valid8 yang menggunakan telefon di Universiti Malaysia Pahang (UMP) , Gambang. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

UMP lancar dua aplikasi digital V8 dan XChain

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini melancarkan dua aplikasi menggunakan teknologi blockchain yang akan memanfaatkan pelajar, kakitangan, alumni dan bakal majikan.

Aplikasi berkenaan ialah UMP Valid8 iaitu aplikasi pengesahan sijil menggunakan sistem kod QR untuk memastikan kesahihan sijil pelajar universiti itu dan UMP Xchain, iaitu dompet mudah alih yang membolehkan pengguna membuat pembayaran menggunakan kod QR.

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, penggunaan teknologi blockchain dapat menyimpan data di pelbagai lokasi dan tidak mudah digodam pihak luar.

"Setiap sijil dilengkapi kod QR yang unik bagi memastikan kesahihan maklumat pelajar pada sijil graduan dan dengan mengimbas kod terbabit, kita dapat melihat maklumat seperti paparan gambar, nama, program pengajian dan tahun bergraduasi.

"Bagi aplikasi UMP Xchain pula, pengguna iaitu pelajar dan kakitangan universiti ini boleh membuat pembayaran di kafetaria, kedai dan unit Bendahari menggunakan telefon pintar bagi proses transaksi pembayaran," katanya ketika sidang media majlis pelancaran dua aplikasi berkenaan di UMP kampus Gambang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pusat Kecemerlangan IBM, Dr Mohamed Ariff Ameedeen dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Profesor Madya Dr Mohd Ridzuan Darun.

Daing Nasir berkata, sistem yang dibangunkan itu boleh merekod maklumat pendidikan pelajar UMP dan aplikasi UMP Valid8 akan digunakan sepenuhnya pada Konvokesyen UMP tahun ini.

Katanya, projek perintis hasil Pusat Kecemerlangan IBM dengan kerjasama FIM bersama kumpulan Alumni UMP menjadikan universiti berkenaan selangkah ke hadapan dalam memajukan teknologi.

"Kita menyasarkan seramai 11,000 pelajar akan menikmati kemudahan terbaru ini untuk melakukan pembayaran dalam kampus.

"Kita juga berhasrat untuk meluaskan penggunaan aplikasi UMP Xchain ini ke seluruh negeri seterusnya ke peringkat kebangsaan," katanya.

520 dibaca
Berita Harian X