Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:18pm

9,534 calon duduki STAM

PUTRAJAYA: Seramai 9,534 calon akan menduduki peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang bermula 23 Oktober hingga 1 November ini.

Kementerian Pendidikan, dalam satu kenyataan hari ini, berkata semua calon berkenaan akan mengambil peperiksaan di 240 pusat peperiksaan di negara ini dan Kemboja.

"Lembaga Peperiksaan juga ingin mengingatkan semua calon untuk merujuk jadual waktu peperiksaan STAM 2017 bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai masa dan mematuhi semua amaran yang ditetapkan semasa peperiksaan berkenaan berlangsung.

"Jadual waktu peperiksaan berkenaan juga boleh dimuat turun dari laman web Lembaga Peperiksaan di lp.moe.gov.my.

"Selain itu juga calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar," katanya.

Sementara itu, seramai 1,071 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan terbabit berjalan dengan lancar seperti yang dijadualkan.

72 dibaca
Berita Harian X