Jumaat, 13 Oktober 2017 | 5:36pm
NAIB Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Ashwin Charles Benedict atas kejayaan menjuarai Pertandingan Asia-Pacific 3 Minute Thesis Competition di Australia bulan lalu dan bakal menyertai Pertandingan Falling Wall Labs 2017 di Berlin Jerman pada 8 dan 9 November nanti. - Foto ihsan UMP

Pelajar UMP wakili Asia-Pasifik ke pertandingan Falling Wall Labs di Berlin

KUANTAN: Pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ashwin Charles Benedict yang mengharumkan nama Malaysia apabila muncul juara 3 Minute Thesis (3MT) Asia Pacific di Australia bulan lalu, akan menyertai pertandingan Falling Wall Labs 2017 di Berlin, Jerman.

Ashwin Charles yang juga pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) dipilih untuk mewakili rantau Asia Pasifik bagi pertandingan itu yang akan diadakan pada 8 dan 9 November ini.

Naib Canselor UMP, Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kajian pelajar berusia 32 tahun bertajuk Catalyzing Change: Light at the end of the Tunnel memberi peluang kepadanya untuk menyertai pertandingan berasaskan komunikasi penyelidikan anjuran Yayasan Falling Wall.

"Ashwin Charles yang dipilih mewakili Asia Pasifik dalam pertandingan Falling Wall Labs membawa harapan bukan sahaja mewakili lebih 10,000 warga UMP, malahan lebih 30 juta rakyat Malaysia dan seluruh Asia Pasifik.

"Ia juga boleh menjadi motivasi dan menyuntik semangat pelajar lain untuk menyertai program ini serta dapat berkongsi penyelidikan dengan khayalak ramai dan penemuan penyelidikan mereka boleh dibentangkan dengan cara ringkas, padat dan mudah difahami," katanya.

"Pertandingan seperti ini adalah satu daripada dimensi yang mesti didedahkan kepada pelajar dalam meningkatkan komunikasi yang berkesan sama ada secara lisan atau bertulis. Kemampuan ini bukan sahaja memerlukan bakat, namun personaliti dan kematangan berfikir secara intelektual," katanya.

Dr Daing Nasir ditemui pada majlis penghargaan kepada Ashwin Charles anjuran Institut Pengajian Siswazah UMP di Dewan Bankuet Canseleri, Kampus Gambang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Rosli Mohd Yunus, Dekan IPS, Profesor Datuk Dr Hasnah Haron dan Pendaftar UMP, Abd Hamid Majid, Pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), Dr Chiam Kee Swan dan guru bahasa PBMSK, Normala Samsudin.

Sementara itu, Ashwin Charles, berkata, beliau sedang giat melakukan persiapan dan latihan secukupnya bagi menyertai pertandingan kompetitif kerana turut disertai pelajar cemerlang dari universiti lain di dunia.

"Banyak cabaran terpaksa ditempuhi dan idea baharu perlu dicari jika ingin berjaya dalam pertandingan di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pertandingan 3MT yang diadakan di Universiti of Queensland, Australia bulan lalu, beliau menewaskan 55 peserta lain termasuk dari Australia, New Zealand dan Asia dan turut meraih anugerah People's Choice Award.

3MT adalah pertandingan komunikasi penyelidikan yang dibangunkan oleh University of Queensland bagi membangunkan akademik, persembahan, dan kemahiran komunikasi penyelidikan serta menyokong pembangunan kemahiran pelajar menerangkan penyelidikan dalam bahasa yang sesuai dan mudah difahami.

150 dibaca
Berita Harian X