Khamis, 12 Oktober 2017 | 5:42pm
DATUK Chong Sin Woon (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Ooi Pei Ning, (kanan) mengenai cendawan yang ditanamnya sehingga menjadi satu perniagaan ketika ditemui di Kampung Lahar Kepar, Kepala Batas, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar

Pelajar buli perlu diberi peluang kedua

KEPALA BATAS: Pelajar yang terbabit dalam kes buli perlu diberi peluang kedua bagi memastikan mereka kekal dalam sistem pendidikan negara.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon, berkata pihaknya memandang serius kejadian buli, namun pada masa sama pelajar terbabit perlu meneruskan persekolahan bagi memastikan masa hadapan mereka terjamin.

Katanya, definisi buli luas dengan pihaknya perlu mengenal pasti jenis buli yang dilakukan pembuli sebelum sebarang tindakan ke atas mereka dapat diambil.

"Terdapat pelbagai jenis buli berlaku di sekolah, sehingga perbuatan menjeling atau menyorokkan beg rakan sekolah juga boleh diklasifikasikan sebagai buli.

"Jadi, tidak wajar tindakan tegas diambil ke atas pembuli hanya dengan melihat satu kes kerana mereka masih boleh diberi peluang kedua bagi menjamin masa hadapannya," katanya ketika ditemui selepas melawat Rumah Penanaman Cendawan di Kampung Padang, Lahar Kepar, di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat desakan agar pelajar terbabit kes buli dikenakan tindakan tegas termasuk digantung atau dibuang bagi mengelak kejadian berkenaan berulang lagi.

Sin Woon berkata, peluang kedua wajar diberikan agar pelajar yang terbabit dalam kes buli dapat berubah menjadi manusia yang lebih baik dan tidak tercicir dalam pendidikan.

"Pelajar yang dibuang sekolah kerana buli masih boleh bersekolah kerana nama mereka masih kekal dalam sistem pendidikan, cuma mereka tidak boleh kembali ke sekolah lama.

"Bagi kes yang lebih serius, pelajar terbabit boleh dihantar ke sekolah ala ketenteraan bagi mengubah kelakuan mereka," katanya.

215 dibaca
Berita Harian X