Khamis, 12 Oktober 2017 | 4:38pm
PENOLONG Pengarah Kanan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIAM Subki Ahmad (kiri) melihat proses pengundian pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar di UIAM.- Foto Rosdan Wahid
PELAJAR menjalani proses pengundian pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di UIAM. Foto Rosdan Wahid

Pemilihan MPP UIAM 2017/2018: Dua kulliyah berdepan lima penjuru

GOMBAK: Dua kulliyyah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyaksikan perlawanan lima penjuru bagi merebut kerusi yang dipertandingkan pada Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu, di sini, hari ini.

Pertandingan itu membabitkan masing-masing dua kerusi di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMAS) dan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UIAM, Hafsah Mohd Yusoff, berkata pemilihan MPP kali ini membabitkan 16 kerusi yang dipertandingkan untuk perlembagaan kulliyyah bagi kampus Gombak, dua lagi di kampus Pagoh dan lima kerusi umum bagi pelajar antarabangsa.

Katanya, seramai 13,597 pelajar di kampus Gombak layak mengundi bagi sesi pemilihan 2017/2018 membabitkan 11,668 pelajar tempatan dan 1,929 penuntut antarabangsa.

"Proses pengundian pada hari ini bermula jam 9 pagi dan dijangka berakhir selewat-lewatnya 5 petang, manakala keputusan rasmi akan diperoleh pada jam 9 malam nanti.

"Setiap calon di UIAM tidak mewakili mana-mana pihak sama ada pro aspirasi atau pro mahasiswa, sebaliknya bertanding atas kapasiti sebagai wakil kulliyyah masing-masing sekali gus membantu proses pengundian berjalan dalam suasana matang dan terkawal tanpa sebarang provokasi atau kejadian yang tidak diingini," katanya ketika ditemui, di UIAM.

Pemilihan MPP UIAM sesi 2017/2018 menyaksikan dua kerusi di Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar menang tanpa bertanding dan setakat jam 3 petang tadi.

Sebanyak 43.49 peratus pelajar keluar mengundi bagi kampus Gombak dan 62.34 peratus bagi kampus Pagoh.

Sementara itu, calon yang berdepan lawan lima penjuru untuk merebut kerusi di KENMS, Munir Zambry, 23, berkata persaingan yang diterima sangat sengit berikutan kesemua lawan yang bertanding memiliki kelebihan masing-masing.

Munir yang juga anak kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir itu, bertanding buat pertama kali kerana beliau mahu membawa suara mahasiswa ke peringkat pengurusan sekali gus membuat penambahbaikan membabitkan beberapa aspek di kulliyyah.

"Saya banyak menggunakan media sosial iaitu twitter dan instagram untuk membuat hebahan dan meraih undi daripada pengundi selain cara konvensional iaitu menggantung poster dan kain rentang.

"Tidak dinafikan, sedikit sebanyak cubaan provokasi itu tetap ada kerana saya ini anak kepada ahli politik tetapi setakat ini, semua masih terkawal dan boleh dikatakan persaingan adalah bersih tanpa sebarang provokasi berlebihan," katanya.

INFO

- Penamaan calon pada 9 Oktober 2017

- 3 hari tempoh berkempen

792 dibaca
Berita Harian X