Selasa, 12 September 2017 | 5:40pm
GURU Besar SK Paya Bungor, Bahar Nizam Baharudin (dua kiri) melihat Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Ali Hanafiah Shafii (kiri) membantu calon UPSR pelajar Orang Asli, Noraina (dua kanan) dan Noraini selepas tular di media sosial, guru menjemput pelajar Orang Asli ke sekolah untuk menduduki peperiksaan UPSR di SK Paya Bungor. - Foto Farizul Hafiz Awang

UPSR: Guru prihatin jemput murid Orang Asli

KUANTAN: Tindakan dua guru menjemput murid Orang Asli di rumahnya supaya menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam, yang viral dalam media sosial, mendapat pujian sebahagian besar netizen.

Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor, Mohd Ali Hanafiah Shafii dan guru Sains, Khairul Nizam Aseh memujuk murid perempuan bernama Noraina dengan datang ke rumah murid dan membawanya ke sekolah bagi memastikan murid itu tidak terlepas menduduki kertas Bahasa Melayu.

Mohd Ali berkata, sekolah menyedari murid perempuan bernama Noraina itu tidak hadir ke sekolah ketika guru mengambil kedatangan murid sebelum masuk ke dewan peperiksaan kira-kira jam 7.30 pagi.

"Apabila kami mendapat tahu Noraina tidak datang ke sekolah selepas bertanya kepada adik kembar Noraina lantas saya terus mengajak Khairul Nizam untuk ke rumah murid itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari sekolah.

"Khairul Nizam mengambil masa lebih 15 minit untuk memujuk Noraina yang ketika itu berkurung di dalam bilik tidurnya. Noraina akhirnya membuka pintu bilik dan memberi alasan pakaian sekolahnya basah serta tidak mempunyai baju lain.

"Beliau kemudiannya mencadangkan supaya memakai baju kurung ataupun pakaian sukan namun Noraina enggan kerana malu. Saya kemudian meminjam baju sekolah jiran mereka untuk dipakai Noraina dan mujur kami sempat sampai ke sekolah bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan, pada mulanya bimbang juga sekiranya kami terlewat sampai," katanya ketika ditemui di sekolah itu, di sini, hari ini.

Mohd Ali yang juga guru Bahasa Melayu berkata, Noraina seorang calon yang mempunyai potensi untuk lulus dan pihak pengurusan sekolah perlu memastikannya hadir ke sekolah memandangkan UPSR peperiksaan penting bagi murid sekolah rendah.

Katanya, murid Orang Asli itu kebanyakannya mempunyai perasaan rendah diri yang menebal, sekiranya pakaian mereka tidak sama atau berbeza dengan rakan lain mereka sanggup untuk tidak hadir ke sekolah kerana malu.

"Jadinya, guru perlu memainkan peranan penting untuk memujuk mereka, walaupun sudah menjadi kebiasaan mereka ini tidak hadir ke sekolah sekurang-kurangnya satu hari seminggu, namun untuk hari peperiksaan ini, kami perlu lebih tegas.

"Sebenarnya, ini bukan kali pertama kami menjemput murid di rumah mereka, sebelum ini kami pernah juga berbuat demikian kepada murid Tahun Empat dan Tahun Lima. Semuanya bagi memastikan mereka hadir ke sekolah," katanya.

Sementara itu Guru Besar SK Paya Bungor, Bahar Nizam Baharudin, berkata pihak sekolah mengadakan pelbagai program termasuk menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), pemimpin masyarakat dalam usaha memberi kesedaran kepada murid mengenai pentingnya aspek pendidikan.

"Sekolah bercadang untuk menjadikan kuarters guru sebagai 'asrama mini' dengan calon UPSR ditempatkan di kuarters sepanjang tempoh peperiksaan bagi memudahkan kita memantau kedatangan mereka.

"Kita sudah berbincang dengan JAKOA supaya menyediakan makanan dan minuman serta keperluan lain untuk murid ini. Insya Allah kita akan laksanakan tahun depan," katanya.

390 dibaca
Berita Harian X