Selasa, 12 September 2017 | 12:25pm

UM antara terbaik QS Graduate Employability Rankings

KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) tersenarai dalam 300 universiti terbaik dunia Quacquarelli Symonds (QS) Graduate Employability Rankings 2018 bagi kebolehpasaran graduannya.

Berdasarkan penarafan edisi ketiga itu yang diumumkan hari ini, UM disenaraikan pada kedudukan 201-250 dengan skor 75.3 peratus yang mendahului universiti lain di Malaysia.

Bagaimanapun, kedudukan itu menurun berbanding kejayaan UM memasuki senarai 151-200 pada penarafan berkenaan tahun lalu.

Dua lagi universiti negara ini yang memasuki senarai 500 terbaik dunia penarafan sama kali ini ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Kedua-dua UKM yang mencatat skor 65.9 peratus dan UiTM menduduki tangga 301-500.

Universiti Sains Malaysia (USM) yang mencatat kedudukan 201+ pada QS Graduate Employability Rankings 2017, bagaimanapun tidak memasuki senarai tahun ini.

Pengarah Kaji Selidik QS, Ben Sowter, berkata kaji selidik itu dihasilkan bagi membantu universiti meningkatkan kebolehpasaran pelajar yang menjadi antara komponen penting dalam misi setiap institusi pengajian tinggi (IPT).

"Penarafan ini bukan sahaja membantu pelajar membuat perbandingan dalam memilih universiti, tetapi juga menunjukkan setiap universiti tidak sepatutnya hanya bersandarkan kepada reputasi semata-mata.

"Setiap IPT perlu komited menghasilkan kaedah pengajaran inovatif, meningkatkan hubungan dengan industri secara proaktif dan menyediakan pelbagai peluang bagi pelajar untuk bertemu dengan bakal majikan," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Lima universiti di Amerika Syarikat (AS) unggul dalam senarai 10 universiti terbaik penarafan itu diterajui Stanford University pada kedudukan pertama, selain dua universiti United Kingdom (UK), Australia (dua) dan China (satu).

INFO

QS Graduate Employability Rankings 2018

10 universiti terbaik

1. Stanford University (AS)

2. University of California, Los Angeles (UCLA) (AS)

3. Harvard University (AS)

4. The University of Sydney (Australia)

5. Massachusetts Institute of Technology (MIT) (AS)

6. University of Cambridge (UK)

7. The University of Melbourne (Australia)

8. University of Oxford (UK)

9. University of California, Berkeley (UCB) (AS)

10. Universiti Tsinghua (China)

305 dibaca
Berita Harian X