Isnin, 11 September 2017 | 11:39pm
DATUK Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan sidang media khas mengumumkan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

UPSR di Kedah ikut jadual

KUALA LUMPUR: Semua petugas peperiksaan dan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri Kedah, perlu hadir ke pusat peperiksaan mengikut jadual, esok.

 

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, peperiksaan UPSR yang dijadualkan pada 11, 12, 13, 14 dan 18 September di seluruh negara, akan diteruskan mengikut jadual seperti biasa.

 

"Semua 51,363 petugas dan 443,794 calon di 8,085 pusat peperiksaan, termasuk di negeri Kedah, dikehendaki hadir menduduki UPSR walaupun hari Selasa diisytiharkan sebagai cuti kelepasan am negeri.

 

"Kementerian Pendidikan merafak sembah takziah dan rasa dukacita yang teramat sangat ke atas kaum kerabat Diraja Negeri Kedah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Al-Mu'tassimu Billahi Muhibbuddin Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah," kata kenyataan itu.

 

Terdahulu, Kerajaan Kedah mengumumkan esok sebagai hari kelepasan am susulan kemangkatan Sultan Abdul Halim di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah, jam 2.30 petang tadi.

 

Dalam pengumuman itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata peperiksaan UPSR di negeri itu berjalan seperti biasa.

433 dibaca
Berita Harian X