Isnin, 11 September 2017 | 7:12pm
MOHAMAD Nabil dibantu gurunya mengulang kaji - Foto Mohd Shukor Amin.

Calon UPSR tunggal

SABAK BERNAM: Calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phooi Mi, Teluk Rhu, Sungai Air Tawar di sini, mencatat sejarah apabila beliau seorang diri menduduki peperiksaan itu hari ini.

Guru Besarnya, Law Yet Yeeng, berkata muridnya Mohamad Nabil Thaqif Adam, 12, menjadi calon tunggal menduduki UPSR sekolah itu.

Katanya, ini kali pertama sekolah itu mempunyai calon tunggal dalam UPSR.

"Tahun lalu, sekolah ini mempunyai empat orang calon manakala pada tahun 2015 seramai lima orang calon menduduki UPSR.

"Jadi kami harap calon tunggal kami mampu meraih keputusan 100 peratus lulus dalam UPSR kali ini. Tahun lalu hanya mencapai 25 peratus lulus kerana seorang calon tidak lulus," katanya.

Yet Yeeng berkata, pengambilan sekolah itu pada tahun ini menyaksikan sekolah itu hanya mempunyai seorang murid bagi kelas Tahun Enam, Tahun Dua dan Tahun Satu.

"Tiada murid bagi kelas Tahun Tiga manakala kelas Tahun Empat dan Tahun Lima masing-masing tiga dan empat orang murid dengan tenaga pengajar seramai 10 orang guru," katanya.

SK Tanjong Jawa

Sementara itu, sebuah lagi sekolah kurang murid (SKM) menyaksikan hanya dua orang calon UPSR menduduki peperiksaan itu iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Jawa, iaitu Muhammad Shahirul Syazrin Arshad, 12 dan Puteri Nur Azmira Mohd Khairol, 12.


DUA calon UPSR SK Tanjong Jawa bersama Guru Besar, Khaire (dua dari kiri) dan guru laIn sekolah itu - Foto Mohd Shukor Amin.

Guru Besar sekolah itu, Khaire Md Zen, berkata beliau berharap kedua-dua calon UPSR sekolah itu dapat mengekalkan pencapaian lulus 100 peratus seperti pencapaian tahun sebelumnya.

"Kita menaruh harapan tinggi calon sekolah ini mencatat gred purata sekolah (GPS) yang membanggakan.

"Jika dapat mengatasi pencapaian terbaik GPS 1.20 sekolah ini pada dua tahun lalu," katanya.

Pada 2015, SK Tanjong Jawa mencatat kejayaan manis apabila diumumkan sebagai sekolah kebangsaan terbaik daerah Sabak Bernam apabila dua orang calonnya lulus 100 peratus dan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 1.20 dalam UPSR melayakkan sekolah menerima empat anugerah kecemerlangan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

INFO

* 1, 971 calon UPSR di daerah Sabak Bernam

2106 dibaca
Berita Harian X