Isnin, 11 September 2017 | 4:25pm
SHAFANA (kiri) dan Nor Aqma tetap bersemangat menduduki peperiksaan walaupun berdepan kesukaran selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran besar, baru-baru ini. - Foto Abdul Rahemang Taiming

UPSR: Rumah terbakar tak jejas semangat

TAWAU: Dua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Titingan, dekat sini, tetap bersemangat menduduki peperiksaan walaupun berdepan kesukaran selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran besar, baru-baru ini.

Walaupun masih terkejut dengan kejadian itu serta berdepan kesukaran selepas buku nota musnah terbakar, selain terpaksa mengulang kaji pelajaran di pusat pemindahan, ia tidak menghalang Shafana Shamsudin dan Nor Aqma Ali, menduduki peperiksaan dengan tenang.

Rumah kedua-dua calon UPSR itu antara 67 kediaman yang musnah dalam kebakaran besar di Kampung Titingan, di sini, mengakibatkan lebih 350 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Shafana yang tinggal sementara bersama-sama guru kelasnya, Anita Yusuf sepanjang peperiksaan berkata, walaupun bersedih, kebakaran itu bagaimanapun tidak mengganggu tumpuannya kerana telah membuat persediaan awal untuk menghadapi UPSR.

"Sebelum ini, saya sudah membuat persiapan awal selain keputusan ujian percubaan ialah 4A, 2B memberi semangat kepada saya untuk mencapai kejayaan dalam UPSR.

"Saya berterima kasih atas keperihatinan Cikgu Anita kerana sudi menumpangkan saya di rumahnya sepanjang peperiksaan ini," katanya ketika ditemui BH, hari ini.

Bagi Nor Aqma, walaupun sedih kerana semua peralatan sekolah termasuk buku dan pakaian musnah dalam kebakaran itu, dia tetap bersemangat menghadapi UPSR.

"Perasaan sedih tetap ada kerana semuanya musnah terbakar, namun ia bukan penghalang sebaliknya menguatkan lagi semangat untuk memperoleh keputusan cemerlang," katanya.

Guru Besar SK Kampung Titingan, Hassan Kadir, berkata seramai 25 murid sekolah itu terjejas akibat kebakaran di Kampung Titingan.

"Pihak sekolah prihatin terhadap nasib semua murid yang terjejas akibat kebakaran ini dan usaha membantu mereka telah dibuat. Kami memberi kata-kata semangat kepada calon yang menduduki UPSR," katanya.

787 dibaca
Berita Harian X