Isnin, 11 September 2017 | 2:48pm
MUHAMMAD Azmi Danish Badrul terpaksa menduduki UPSR di Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat demam denggi. - Foto Balqis Jazimah Zahari

Calon demam denggi

IPOH: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jelapang Jaya di sini, Muhammad Azmi Danish Badrul, 12, terpaksa menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di hospital akibat demam denggi.

Bagaimanapun, dia yang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) tetap tenang menjawab soalan di atas katil dalam bilik yang disediakan khas kepadanya bagi menjalani peperiksaan itu.

"Saya tetap mahu menduduki peperiksaan ini walaupun sedang sakit ketika ini.

"Saya tidak pula berasa tertekan kerana terpaksa mengambil peperiksaan di sini. Saya buat seperti biasa dan tenang sahaja menjawab semua soalan," katanya.

Beliau ditemui selepas menjawab kertas Bahasa Melayu Pemahaman di hospital berkenaan hari ini.

Murid itu dimasukkan ke hospital Jumaat lalu selepas mengalami gejala demam, lemah badan, hilang selera makan dan muntah.

Muhammad Azmi Danish berkata, dia meletakkan sasaran memperolehi keputusan 4A dalam peperiksaan berkenaan.

"Saya sudah lakukan ulang kaji sebelum ini dan yakin dapat menjawab soalan peperiksaan dengan baik," katanya.

Katanya, dia paling meminati subjek Sains dan bercita-cita mahu menjadi juruterbang.

264 dibaca
Berita Harian X