Ahad, 10 September 2017 | 10:03pm
ANGGOTA Bomba membantu calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) keluar dari Rumah Panjang Aman Jugau untuk ke asrama pagi tadi - Foto ihsan Bomba.
DUA calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sekolah Kebangsaan Abang Abdul Kadir di Betong, Sarawak dibantu bomba untuk keluar dari rumah panjang akibat banjir pagi tadi - Foto ihsan Bomba.

Bomba bantu calon UPSR

BETONG : Bimbang terlepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) esok, dua murid terpaksa meminta bantuan anggota bomba untuk menghantar mereka balik ke asrama.

Bantuan itu diperlukan berikutan laluan dari kediaman murid terbabit di Rumah Panjang Aman Jugau di sini ke Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Abdul Kadir, tidak dapat dilalui akibat banjir.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.24 pagi.

Beliau berkata, bertindak atas panggilan itu, empat anggota dikerah ke lokasi untuk melaksanakan misi khidmat khas.

"Jarak kediaman murid dengan sekolah dalam tujuh kilometer dan kawasan yang tidak boleh dilalui akibat banjir pula sepanjang 700 meter.

"Anggota kami berjaya menghantar dua murid itu ke sekolah mereka dengan selamat bagi membolehkan mereka menduduki UPSR esok," katanya.

279 dibaca
Berita Harian X