Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:19pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad (kanan) bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jaafar Ismail (dua dari kiri) merasmikan Program Jelajah Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia di Pasaraya Besar AEON Mall, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Kementerian Pendidikan tidak pinggir Kelantan

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan tidak pernah meminggirkan sektor berkenaan di Kelantan, sebaliknya negeri itu menerima peruntukan antara yang tertinggi setiap tahun.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata bagi tahun ini kementeriannya menerima peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM43 bilion untuk 10,180 sekolah di seluruh negara.

"Bagi negeri Kelantan, kementerian memperuntukkan sebanyak RM2.4 bilion kepada 592 sekolah di negeri ini, sekali gus menjadi antara yang tertinggi berbanding negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Jelajah Pendidikan, di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Jaafar Ismail.

Mengulas mengenai program berkenaan, Alias berkata, program jelajah selama dua hari yang diadakan di negeri ini sejak semalam, adalah lokasi ketujuh selepas Kedah, Terengganu, Melaka, Selangor, Johor Baharu dan Negeri Sembilan.

Katanya, siri jelajah terbabit memfokuskan kejayaan bidang pendidikan dan keberhasilan murid melalui Gelombang 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"Program yang diadakan dengan kerjasama JPN ini dilihat menjadi platform berkesan kepada masyarakat untuk bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan pendidikan, sama ada di peringkat prasekolah sehingga di peringkat pendidikan menengah.

"Justeru, masyarakat perlu memanfaatkan program 'turun padang' ini untuk bertanyakan kemusykilan berbanding terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial," katanya.

226 dibaca
Berita Harian X