Sabtu, 12 Ogos 2017 | 4:17pm
ROSMAH (kanan) melawat pameran pada Program Hari Belia PERKASA PERMATA di Kompleks Komuniti Muhibbah, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Salhani Ibrahim

PERMATA berdepan cabaran perluas program - Rosmah

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mahu Program PERKASA@remaja PERMATA diperluaskan ke seluruh negara bagi mengurangkan isu sosial dalam kalangan remaja.

Penaung PERMATA Negara itu bagaimanapun berkata, pihaknya berhadapan beberapa kekangan dan cabaran, antaranya sukar mendapatkan lokasi untuk melaksanakan program komuniti, selain kekurangan sokongan, sukarelawan serta kewangan.

"Antara cabaran adalah mendapatkan kerjasama pemaju swasta menyediakan ruang (di kawasan perumahan yang dibina) kerana mereka kata akan rugi jika diberi pada kita.

"Disebabkan itu, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang menguruskan Projek Perumahan Rakyat (PPR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Hari Belia PERKASA PERMATA di Kompleks Komuniti Muhibbah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz; Pengarah Pusat PERMATA Negara, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Progam PERMATA Negara, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat.

Mengulas mengenai kekangan kewangan dihadapi untuk memperluaskan PERKASA@remaja, Rosmah berkata, beliau tidak bermaksud untuk sengaja meminta duit seperti didakwa pembangkang, sebaliknya ia adalah satu keperluan.

"Bukan saya minta duit, saya tak minta. Kalau nak perluas program, itulah benda yang kita terpaksa ada, di samping tenaga pengjar.

"Duit ini saya tak pegang. Satu sen pun saya tak jaga, duit pun saya tak nampak. Perancangan program semua dibuat oleh sekretariat," katanya.

280 dibaca
Berita Harian X