Sabtu, 12 Ogos 2017 | 11:25am
MOHAMMAD Shahrul Nizam berniaga burger bagi menampung kos pembedahan jantungnya. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Duit burger tampung kos bedah jantung

ALOR SETAR: Kecekalan seorang pelajar Diploma Kejururawatan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu di Kelantan yang bijak mencari rezeki sambil belajar untuk membiayai kos pembedahan jantungnya, melayakkannya dinobat penerima Anugerah Keusahawanan Terbaik.

Mohamad Shahrul Nizam Alias, 21, menerima anugerah itu pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Hal Ehwal Pelajar KPTM 2016/2017 bertemakan Hargai Sumbangan Pelajar Dalam Sukan dan Kokurikulum di TH Hotel, malam tadi.

Anugerah disampaikan Pengerusi KPTM, Datuk Ahmad Nazlan Idris. Mohamad Shahrul Nizam menerima trofi, sijil dan wang tunai RM500.

Penerima lain ialah Anugerah Kokurilum Terbaik yang dimenangi oleh Kelab Perakaunan KPTM Bangi; Anugerah Inovasi Terbaik (Kelab Rekacipta dan Inovasi KPTM Kuantan); Anugerah Khas Permata Gemilang (Wan Nooralwanis Wan Zakaria, KPTM Kota Bharu) dan Anugerah Sukan Terbaik (Muhammad Ash Ammar Asngaru, KPTM Batu Pahat).

Pelajar kelahiran Marang, Terengganu itu berkata, beliau disahkan menghidap penyakit jantung sebaik menyambung pengajian di kolej berkenaan pada Julai 2014.

Sejak itu, katanya, beliau berazam untuk menanggung sendiri kos pembedahan jantungnya yang mencecah RM11,000.

Katanya, pengalaman membantu ibu bapa berniaga di pasar malam sejak berusia lapan tahun mendorong anak kedua daripada empat beradik itu untuk membuka gerai burger di dataran asrama menerusi bantuan Kelab Keusahawanan KPTM.

"Alhamdulillah, saya mendapat sokongan daripada keluarga, rakan dan pensyarah. Dengan modal RM500, saya memulakan perniagaan bermula jam 7 malam hingga 10.30 malam.

"Keuntungan daripada jualan burger kira-kira RM40 sehari saya simpan sikit demi sedikit untuk pembedahan saya. Selepas dua tahun dan pada 3 Oktober 2016, saya selamat dibedah di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) Kota Bharu, Kelantan.

"Pihak KPTM dan ahli keluarga turut membantu menampung kos pembedahan serta rawatan susulan," katanya.

Mohamad Shahrul Nizam berkata, perniagaannya semakin maju dengan menu tambahan seperti seperti 'chicken chop' dan kentang goreng.

Beliau juga tidak lokek berkongsi rezeki apabila turut mengajak beberapa rakan untuk membantu.

"Saya memberi upah kepada rakan yang menolong saya di gerai, sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan harian mereka kerana saya tahu ramai pelajar KPTM daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Hasil keuntungan lebih RM1,000 sebulan, saya simpan untuk rawatan susulan dan masa depan. Saya harap pelajar lain di luar sana juga tidak mudah putus asa apabila diduga, peluang untuk kita sentiasa ada asalkan rajin berusaha," katanya.

1752 dibaca
Berita Harian X