Khamis, 10 Ogos 2017 | 9:28pm

Graduan UNITEN 'buruan' organisasi utama

PUTRAJAYA: Seramai 59 graduan cemerlang Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pascasiswazah Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) menerima 67 anugerah bersempena Majlis Konvokesyen UNITEN ke 20, di sini, malam ini.

Anugerah ditaja oleh syarikat yang mempunyai jalinan hubungan industri dengan UNITEN itu adalah untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada graduan yang cemerlang dalam bidang pengajian serta aktif dalam pembabitan kokurikulum.

Pro Canselor UNITEN yang juga Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Leo Moggie, berkata anugerah itu adalah satu pengiktirafan daripada UNITEN atas kesungguhan dan hasil usaha graduan sepanjang pengajian mereka.

Beliau berkata, UNITEN mengiktiraf usaha dan dedikasi graduan yang bekerja tanpa mengenal erti penat lelah untuk mencapai gred cemerlang selain turut aktif dalam kegiatan kokurikulum semasa pengajian mereka.

"Pelajar cemerlang UNITEN ditempatkan di organisasi terpilih untuk program latihan dan pendedahan awal terhadap persekitaran tempat kerja yang kondusif dan mencabar akan meningkatkan pengalaman graduan.

"Saya berbangga graduan UNITEN dicari oleh agensi utama dan hampir semua pelajar praktikal diserap sebagai kakitangan tetap oleh organisasi masing-masing," katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Graduan 2017 (AIG 2017), di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan TNB Janamanjung, Datuk Shamsul Ahmad.

Pada majlis itu juga, Shamsul turut menyampaikan sumbangan 'Dana Derma Siswa YCU' kepada Yayasan Canselor UNITEN bagi membantu pelajar yang layak untuk menyambung pelajaran mereka di UNITEN.

Berita Harian X