Khamis, 10 Ogos 2017 | 6:28pm
HASSAN (dua dari kiri) dan Mohd Ashhar (dua dari kanan) menukar dokumen perjanjian sambil diperhatikan Abdul Rahman (kiri) dan Abdul Muin pada Majlis Menandatangani MoU antara UiTM dan ANM di Shah Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar

UiTM-ANM lahirkan penyelidik teknologi nuklear

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) maju selangkah lagi apabila memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) bagi menggalakkan penyelidikan dalam bidang teknologi nuklear.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, kerjasama strategik itu akan membabitkan penyelidikan dan pembangunan, pengkomersialan, penerbitan serta pendidikan khusus dalam bidang teknologi nuklear.

"MoU ini akan berlangsung dalam tempoh lima tahun dan antara kerjasama yang ingin dijalankan adalah program kerjasama strategik penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta khidmat dan latihan dalam bidang berkaitan untuk pembangunan negara.

"Selain itu, kita juga akan mengadakan kerjasama penyeliaan bersama untuk program Sarjana dan Doktor Falsafah; penempatan pelajar untuk latihan industri peringkat diploma serta sarjana muda dan banyak lagi," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara UiTM dan ANM di sini, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Hassan bersama Ketua Pengarah ANM, Dr Mohd Ashhar Khalid dengan disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal ANM, Dr Abdul Muin Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Abdul Rahman Omar.

Hassan berkata, penyelidikan dalam bidang berkaitan nuklear seperti kesihatan, perubatan dan kerja makmal sukar dilakukan di peringkat universiti kerana kekurangan peralatan.

"Justeru, menerusi kerjasama ini UiTM akan menyediakan kemahiran dan ANM menyediakan peralatan untuk pelajar kita melakukan penyelidikan," katanya.

Sementara itu, Mohd Ashhar berkata, ANM mengharapkan penemuan baharu serta teknik-teknik dalam kajian yang akan dijalankan oleh UiTM.

"Penemuan baharu akan memberi nilai tambah kepada penyelidik itu sendiri dan boleh digunakan untuk pembangunan negara," katanya.

133 dibaca
Berita Harian X