Khamis, 10 Ogos 2017 | 3:07pm
IDRIS (tiga dari kiri) diiringi Wahid (lima dari kanan) mengadakan lawatan ke bilik kuliah dan meninjau kerjasama industri dan akademia ketika mengadakan lawatan kerja ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Pantau pelajar terbabit jenayah, ekstrimis

JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi sentiasa memantau perkembangan militan Daesh, kongsi gelap serta gangsterisme bagi memastikan tidak ada penuntut universiti terbabit dengan kegiatan itu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak keselamatan negara bagi membendung pembabitan pelajar dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, kementerian tidak menafikan kemungkinan ada pelajar yang terbabit dengan kumpulan haram berkenaan, namun pihaknya sentiasa mengambil langkah persediaan untuk membanteras gejala itu.

"Kemungkinan itu sentiasa ada, kita tidak boleh nafikan. Sebab itu, kita sentiasa beri peringatan kepada pensyarah dan naib canselor sentiasa bersedia untuk hadapi isu ini.

"Kita juga ada perjumpaan bersama pihak universiti untuk beri penerangan supaya sentiasa bersedia untuk menghadapi isu ini," katanya selepas lawatan kerja ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi meninjau kerjasama industri dan akademia, di sini hari ini.

Dalam lawatan itu, Idris turut melancarkan Classroom of Future, konsep bilik kuliah masa depan yang dibangunkan oleh Pusat Kecemerlangan Inovasi, Media dan Permainan Digital (MaGICX).

Ia menggunakan teknologi realiti maya (VR) dan Cisco SPARK bagi proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif.

Beliau turut merasmikan bangunan baharu Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), yang diiktiraf sebagai Institut Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dalam bidang pemulihan air.

Idris turut melakukan prapelancaran Program Penyelidikan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi Jaminan Air Kebangsaan.

Selain itu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara AMTEC dan Makmal Aeronatik UTM dengan Lestari Advance Technology Sdn Bhd (LATSB).

Perjanjian itu bertujuan membangun dan mengkomersialkan produk teknologi membran untuk nyahgaram air laut untuk kegunaan komuniti dan industri.

196 dibaca
Berita Harian X