Khamis, 10 Ogos 2017 | 3:01pm
IDRIS (tengah) bersama Wahid (lima dari kanan) menyaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail (empat dari kanan) bertukar dokumen dengan Pengarah Urusan LATSB, Ahmad Joahari Abu Bakar (tiga dari kiri) ketika majlis pemeteraian kerjasama antara UTM dan LATSB di Dewan Sultan Iskandar UTM, Skudai. - Foto Mohd Azren Jamaludin

UTM, LATSB komersial produk menyahgaram air laut

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lestari Advance Technology Sdn Bhd (LATSB) memeterai memorandum persefahaman dan perjanjian bagi membangun dan mengkomersialkan dua produk penyelidikan bagi teknologi membran dan industri aeroangkasa.

Naib Canselor UTM, Datuk Prof Dr Wahid Omar, berkata LATSB akan membangunkan produk teknologi membran bagi penyahgaraman air laut untuk kegunaan komuniti dan industri.

Kos bagi teknologi membran itu antara RM400,000 hingga RM6 juta, bergantung kepada kapasiti penggunaan.

Katanya, projek kedua adalah kerjasama membangun dan mengkomersialkan bahan dorongan untuk industri aeroangkasa berasaskan teknologi roket dengan Makmal Aeronatik UTM.

"Penghasilan sistem rawatan air bersih dan selamat ini hasil teknologi penyelidik tempatan yang dibiayai sepenuhnya Kementerian Pendidikan Tinggi melalui geran Translational Research Grant Scheme (TRGS) di bawah Program Penyelidikan Strategik Kementerian Jaminan Air Kebangsaan.

"LATSB akan melantik Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) sebagai perunding bagi projek khas berkaitan penggunaan teknologi membran di dalam pemprosesan air bersih dan mentah," katanya pada majlis pemeteraian kerjasama antara UTM dan LATSB di UTM di sini, hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh manakala UTM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan Dan Inovasi), Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail dan LATSB diwakili Pengarah Urusannya, Ahmad Joahari Abu Bakar.

AMTEC menggabungkan aktiviti mereka bentuk, fabrikasi dan pengkomersialan modul membran dan sistem membran yang disesuaikan untuk aplikasi tempatan dan luar negara.

Sementara itu, Wahid berkata bahan pendorong iaitu bahan kimia yang diguna untuk menghasilkan daya tujah di dalam sesebuah roket sangat sukar diperoleh dari luar negara, namun ia sudah menjadi produk penyelidikan UTM dan sedia untuk dibawa ke penggunaan industri.

"Industri aeroangkasa, sivil dan pertahanan berasaskan teknologi ini dijangka dapat dirintis melalui produk ini.

"Faktor ekonomi dan geopolitik semasa menjadikan satu keperluan untuk Malaysia memulakan industri aeroangkasa, terutama dalam industri berasaskan teknologi roket," katanya.

Berita Harian X