Khamis, 10 Ogos 2017 | 1:12pm
Sukarelawan bergotong royong mengecat dinding rumah seorang penduduk. - Foto hiasan

Memperkasa semangat sukarelawan mahasiswa

SEMANGAT kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa perlu dipupuk sejak awal lagi.

Ia adalah batu asas kepada warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, saling bantu membantu tidak kira agama, kaum dan warna kulit.

Semangat ini juga perlu diterapkan melalui kerjasama pelbagai pihak, sama ada individu, badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan mahupun institusi keluarga.

Persoalannya, adakah mahasiswa sedar pentingnya peranan mereka terhadap aktiviti kesukarelawanan ini?

Jika dilihat secara rawak, penyertaan mahasiswa di universiti terhadap program kesukarelawanan kini masih lagi berada pada tahap yang kurang memuaskan.

Lebih malang lagi, segelintir mahasiswa yang dipandang tinggi oleh masyarakat ini beranggapan program kesukarelawanan membuang masa dan tidak mendatangkan faedah.

Sehubungan itu, program kesukarelawanan yang diwujudkan harus mempunyai objektif yang jelas bagi memberi dorongan dan motivasi kepada mahasiswa untuk mereka bergiat lebih aktif dalam program sebegini.

Jika objektifnya jelas, pasti mahasiswa dapat menjiwai dan menghayatinya dengan baik.

Terdapat pelbagai isu yang berlaku seperti bencana alam, konflik negara luar, pencemaran alam sekitar, masalah kesihatan, tahap pendidikan yang rendah dan masalah sosial, yang memerlukan tenaga dan sumbang bakti sukarelawan.

Aktiviti kesukarelawanan sememangnya tidak mendatangkan faedah berbentuk wang dan kebendaan.

Namun, jika dilihat dari sudut yang berbeza, aktiviti itu dapat menambah kecenderungan peserta dalam usaha memperkayakan ilmu pengetahuan berdasarkan pengalaman yang diperoleh.

Pupuk nilai murni

Selain itu, mereka juga dapat memupuk, membudayakan nilai kerjasama, melahirkan insan yang berupaya mengeluarkan idea bernas, memupuk semangat berkumpulan, mengikis sikap pentingkan diri, sekali gus serta mengenali persekitaran budaya masyarakat sekitar.

Pada masa sama, dalam usaha membangunkan negara dan memperkasa generasi muda, termasuk mahasiswa, selaras dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta Kementerian Belia dan Sukan, mahasiswa harus mempunyai nilai jasmani, emosi, rohani, intelek yang stabil merangkumi semua aspek generasi secara holistik.

Semua aspek ini dapat dicapai melalui penyertaan mahasiswa dalam program yang berunsurkan kesukarelawanan.

Tahun Sukarelawan Negara yang diisytiharkan sejak 2009 menunjukkan kepentingan mahasiswa dan generasi muda dalam menjayakan hasrat untuk melahirkan generasi yang sedia membantu bagi membina masa hadapan negara yang lebih baik.

Malaysia yang menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-29 dan Para ASEAN Kesembilan merekrut sukarelawan bagi menjayakan acara sukan berprestij itu.

Bilangan pendaftaran yang diterima oleh Sekreteriat Sukan SEA Ke-29 melebihi 50,000 orang sedangkan hanya 20,000 sukarelawan sahaja yang diperlukan.

Semangat 'tidak mati'

Ini jelas menunjukkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak lagi 'mati' berbanding negara luar.

Tuntasnya, semoga kita dapat melahirkan sukarelawan dalam kalangan mahasiswa bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Mahasiswa yang berani tidak lokek menyumbang bakti dan tidak mementingkan diri. Inilah mahasiswa yang dicari secara sukarela dan bertindak atas dasar tanggungjawab tanpa dipaksa atau disuruh.

Kesimpulannya, walaupun isu ini tidak begitu hebat dibincangkan, adakalanya mampu menjadi isu nasional apabila negara dilanda musibah seperti bencana banjir pada Disember 2014 dan kejadian tanah runtuh di Sabah pada 2015.

Penghayatan terhadap semangat sukarelawan perlu diterapkan sebaik mungkin demi keharmonian dan keamanan bersama.

* Penulis adalah Presiden Kelab IM4U, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

144 dibaca
Berita Harian X