Khamis, 10 Ogos 2017 | 1:06pm
DEKAN FSMP Prof Dr Sharifudin Md Shaarani.- Foto Edmund Samunting

UMS galak industri pemakanan sihat

KUALA LUMPUR: Kepentingan kesihatan dan keperluan tenaga kerja industri pemakanan, mendorong Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan pengajian Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pemakanan.

Pengajian secara mod penyelidikan yang ditawarkan di bawah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) itu, diperkenalkan sejak 1997.

Dekan FSMP, Prof Dr Sharifudin Md Shaarani, berkata pengajian itu mendedahkan pelajar dengan pelbagai kelebihan dan maklumat secara mendalam, selain menyediakan mereka dengan ilmu terbaik untuk menceburi kerjaya itu.

"Antara kepentingan bidang ini ialah ia membolehkan pelajar mengkaji kesan makanan kepada tubuh, mengetahui peranan makanan sebagai faktor penyumbang kepada kesihatan manusia dan bagaimana mengatasi permasalahan kesihatan.

"Sepanjang tempoh pengajian, pelajar akan membuat kajian memfokuskan pada topik pemakanan dan kesihatan," katanya.

Sharifudin berkata, topik itu antaranya berkaitan aspek biokimia pemakanan, yang memerlukan pelajar mengkaji pelbagai nilai komponen dalam makanan, termasuk karbohidrat, protein dan lemak.

Setiap kajian, katanya, menjurus ke arah meneliti kesan pemakanan terhadap tubuh manusia dan kesejahteraan mereka.

Beliau berkata, graduan bidang itu dilihat sebagai penasihat dan ejen tatacara hidup manusia, memiliki masa depan kerjaya cerah kerana berupaya menggalakkan industri pemakanan yang semakin berkembang pesat.

"Perkembangan revolusi generasi keempat (IR 4.0) yang menjadi fokus negara ini menyaksikan bidang pemakanan industri berkaitannya seperti kesihatan tersenarai sebagai antara kerjaya paling popular atau diperlukan.

"Antara bidang kerjaya adalah penasihat nutrisi, perancang diet atlet sukan, pembuatan pemakanan, perunding diet, penyelidik pemakanan, peruncit pemakanan dan pensyarah," katanya.

Sharifudin berkata, bagi tempoh pengajian, sarjana sepenuh masa membabitkan dua hingga enam semester, manakala separuh masa ditawarkan empat hingga lapan semester.

Bagi PhD, katanya, tempoh pengajian adalah empat hingga lapan semester bagi pengajian sepenuh masa dan enam hingga 12 semester untuk separuh masa.

Pemohon yang berminat perlu memiliki ijazah sarjana muda berkaitan dengan minimum Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 2.75.

"Jika pemohon memperoleh CGPA lebih rendah daripada syarat ini, mereka perlu mempunyai pengalaman kerja selama lima tahun dalam bidang berkaitan.

"Bagi pengajian PhD, pemohon perlu memiliki sarjana dalam bidang berkaitan, yang diiktiraf panel UMS," katanya.

INFO

  • 44 pensyarah di Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan
  • 65 peratus daripada pensyarah di fakulti ini memiliki PhD dalam bidang berasaskan makanan dan penggiat industri
  • Selain Pemakanan, fakulti menawarkan tiga pengajian berasaskan makanan, iaitu Sains Makanan, Teknologi Makanan dan Perkhidmatan Makanan

122 dibaca
Berita Harian X