Jumaat, 12 Oktober 2018 | 5:37pm
MOHAMADDIN Ketapi (duduk) melawat pameran selepas merasmikan Pameran Cerita Fesyen & Reka Bentuk Sweden dengan tema Kraf Persatuan di Balai Seni Negara, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Cadangan cuti sekolah berperingkat tidak akan dilaksanakan - Mohamaddin

KUALA LUMPUR: Cadangan cuti sekolah berperingkat antara negeri tidak akan dilaksanakan kerana ia hanyalah pandangan peribadi Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Menurut menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, cadangan itu bukan datang dari kementerian dan tidak pernah dibincangkan.

“Ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak pernah dibincangkan dalam kementerian. Jika tanya pandangan saya, jawapan saya tidak,” katanya.

Mohamaddin berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas merasmikan Pameran Cerita Fesyen & Reka Bentuk Sweden dengan tema Kraf Persatuan di Balai Seni Negara, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa dan Duta Sweden di Malaysia, Dag Juhlin-Dannfelt.

Selasa lalu, Muhammad Bakhtiar mencadangkan cuti sekolah diadakan secara berperingkat antara negeri bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan, namun kebanyakan pihak tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Perkembangan lain, Mohamaddin berkata, dasar pelancongan China yang diperkenalkan beberapa tahun yang lalu yang menggalakkan warganya melawat destinasi pelancongan domestik adalah antara faktor penurunan peratus ketibaan pelancong dari China ke Malaysia sewaktu berlangsungnya cuti umum ‘Golden Week, minggu lalu di China.

“Cuti Golden Week itu hanya seminggu sahaja (1 hingga 7 Oktober) apabila rakyat China digalakkan bercuti dalam negara daripada ke luar negara.

“Kemerosotan pelancongan China tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi turut memberi kesan di seluruh dunia tetapi ia cuma untuk tempoh seminggu sahaja,” katanya.

Dalam laporan media semalam, ketibaan pelancong dari China ke Malaysia, dianggarkan turun antara 30 hingga 35 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas berikutan cuti ‘Golden Week’ itu.

Terdahulu, pada majlis pelancaran Pameran Cerita Fesyen & Reka Bentuk Sweden, Muhamaddin berkata penganjuran pameran itu oleh Kedutaan Besar Sweden adalah usaha yang baik bagi menonjolkan warisan dan kreativiti negara itu.

“Ia mengandungi 58 pameran dalam cetakan dan paparan produk dari IKEA, Daniel Wellington dan Assa Abloy

“Penganjuran pameran ini juga membolehkan kedua-dua negara bertukar-tukar idea dan menjalin persahabatan dua hala,” katanya.

300 dibaca
Berita Harian X