Jumaat, 12 Oktober 2018 | 4:43pm
BERSATU dalam Facebook rasminya berkongsi tangkap layar mesej berkenaan dengan tertera perkataan “Fitnah.”

Mesej viral Mukhriz ganti Muhyiddin adalah palsu

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menafikan mesej yang tersebar di media sosial yang mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan menggantikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didiagnosis menghidap kanser pankreas.

BERSATU juga dalam Facebook rasminya berkongsi tangkap layar mesej berkenaan dengan tertera perkataan “Fitnah.”

Mesej yang dipercayai disebarkan sejak semalam itu menyatakan Ahli Parlimen Sungai Petani dan ADUN Gurun, Datuk Johari Abdul akan menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah dan mendakwa Muhyiddin bakal meletakkan jawatan kerana faktor kesihatannya.

Setiausaha Akhbar Muhyiddin, Hafiz Abdul Halim berkata, ramai yang bertanya mengenai kesahihan mesej yang viral mengenai Muhyiddin.

Katanya, mesej itu tidak benar sama sekali dan Muhyiddin hadir mesyuarat seperti biasa semalam di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan hari ini di Bukit Aman.

“Malah, Tan Sri (Muhyiddin) berkesempatan berkempen di Port Dickson. Jadi tak perlulah dipanjangkan apa jua mesej yang anda tidak pasti. Bila-bila masa pun boleh rujuk terus dengan saya atau rakan sepejabat. Terima kasih,” katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook beliau.

Difahamkan Muhyiddin juga sempat mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet sebagai menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak dapat hadir kerana berada di Bali menghadiri mesyuarat Perhimpunan Pemimpin ASEAN.

3150 dibaca
Berita Harian X