Jumaat, 12 Oktober 2018 | 10:03am
DR Noor Hisham Abdullah

Mangsa kes keracunan meningkat kepada 80

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan memaklumkan status terkini kejadian keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah meningkat kepada 80 mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu kenyataan hari ini berkata, berbanding laporan sebelum ini pada 9 Oktober 2018, terdapat 19 kes baharu termasuk satu di Kedah, 15 di Perak dan tiga di Selangor].

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan 80 kes termasuk dua kematian dengan pecahan 31 kes di Perak termasuk dua kematian; 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Daripada jumlah itu, hanya sembilan kes masih berada di hospital dan semuanya dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, 10 sampel makanan dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salad untuk laksa.

“Pihak kementerian masih menunggu keputusan sepenuhnya ujian ini. Punca sebenar bagi kejadian keracunan makanan ini masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan sekali lagi menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan.

Tegas beliau, tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam, di mana makanan mesti dimakan tidak lebih daripada empat jam selepas penyediaannya.

“Sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

“Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi.

“Orang ramai juga dinasihatkan sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas,” katanya.

793 dibaca
Berita Harian X