Jumaat, 12 Oktober 2018 | 9:50am
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sesi perbincangan pada Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN (ALG) hari ini. Turut sama Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah (kiri). - Foto BERNAMA

Terdapat sabotaj dalam kerajaan - Dr Mahathir

BALI: Tindakan sabotaj di dalam kerajaan adalah antara sebab Malaysia sukar untuk mengenal pasti dengan tepat dan seterusnya memberkas ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kata ​​​​​​Tun Dr Mahathir Mohamad

Perdana Menteri berkata beliau percaya itulah puncanya Jho Low dapat mengelakkan diri daripada ditahan.

“Saya rasa dia bersembunyi di tempat tertentu,” katanya ketika ditanya sekiranya terdapat sabotaj dalam kerajaan dengan cara membocorkan maklumat.

“(Tun) Daim (Zainuddin) kata ada orang yang beritahu dia (Jho Low). Ada masanya dia berada di Hong Kong, (tetapi) apabila kami sampai di Hong Kong, dia sudah pun terbang ke tempat lain,” katanya kepada Bernama dan RTM di akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di sini pada Khamis.

Daim adalah Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang terdiri daripada lima anggota,

Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN itu diadakan di luar Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia, bertema ‘Mencapai Matlamat Pembangunan Mampan dan Menangani Jurang Pembangunan Menerusi Tindakan Kerjasama Serantau dan Global’.

Malaysia kini memburu Jho Low untuk membantu dalam siasatan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) - BERNAMA

4699 dibaca
Berita Harian X