Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:25pm
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Baling melakukan pemeriksaan di sebuah gerai di Baling. - NSTP/Safuri Kamarudin

80 kes keracunan laksa

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan mengesahkan 80 kes termasuk dua maut akibat keracunan makanan berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Baling, Kedah, minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 80 kes itu, 31 termasuk dua yang maut adalah di Perak, 25 kes di Kedah dan 24 lagi di Selangor.

“Daripada keseluruhan jumlah berkenaan, hanya sembilan mangsa masih di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, sebanyak 10 sampel makanan dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat sampel mi laksa, empat sampel kuah laksa dan dua sampel bahan campuran salad untuk laksa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan penuh ujian berkenaan.

“Punca sebenar bagi kejadian keracunan makanan ini masih lagi dalam siasatan,” katanya.

2207 dibaca
Berita Harian X