Rabu, 10 Oktober 2018 | 2:35pm
PUTRAJAYA, 10 Okt -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima sumbangan bantuan kewangan sebanyak RM5 juta untuk Tabung Bencana Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi daripada Astro Malaysia Holdings Berhad (ASTRO) yang diwakili oleh Pengerusinya Tun Zaki Tun Azmi (tiga, kiri) dan Maxis Berhad (MAXIS) yang diwakili oleh Pengerusinya Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda (dua, kiri) sambil disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dipejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini.
Turut sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo (tiga, kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ASTRO Henry Tan (kiri).
 - Foto BERNAMA

Dr Mahathir ketuai delegasi Malaysia ke Indonesia

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi Malaysia ke Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN yang akan berlangsung di Bali, Indonesia esok.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Dr Mahathir akan diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

"Tema bagi pertemuan yang diadakan buat julung kalinya ini adalah 'Mencapai Matlamat Pembangunan Lestari dan Mengatasi Jurang Pembangunan Melalui Usaha Kerjasama di Peringkat Serantau dan Global'.

"Pertemuan ini akan memberi peluang kepada pemimpin ASEAN untuk mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Presiden Bank Dunia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha mempertingkatkan kerjasama ASEAN dengan pertubuhan berkenaan dalam isu pembangunan lestari.

"Perdana Menteri juga akan mengadakan mesyuarat hubungan dua hala dengan rakan sejawatannya dari ASEAN pada pertemuan ini," katanya hari ini.

740 dibaca
Berita Harian X