Sabtu, 29 September 2018 | 12:11am
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-73, New York. Foto Ihsan UNWeb TV

Malaysia Baharu mendukung prinsip PBB

NEW YORK: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia Baharu secara tegas akan mendukung prinsip yang diketengahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam semua urusan antarabangsanya.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, bertanggungjawab, beramanah dan kemampanan.

“Dalam konteks inilah kerajaan baharu Malaysia berikrar untuk meratifikasi saki-baki instrumen asas PBB yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi manusia.

“Bagaimanapun, ini bukan perkara mudah kerana Malaysia adalah negara berbilang etnik, agama, budaya dan bahasa.

“Kami akan memberikan ruang dan masa kepada semua pihak untuk membuat pertimbangan dan memutuskan secara bebas berdasarkan demokrasi.

“Selepas 15 tahun dan pada usia 93, saya kembali ke podium ini dengan tugas berat untuk membawa suara dan harapan Malaysia baharu ke pentas dunia.

“Rakyat Malaysia yang kini berbangga dengan kejayaan demokrasi baru-baru ini, memiliki harapan yang tinggi untuk melihat keamanan, kemajuan dan kemakmuran di seluruh dunia.

“Dalam aspek ini, kami melihat kepada PBB untuk mendengar permintaan kami,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-73, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan baharu diterajui Pakatan Harapan (PH) komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat bahagian masing-masing dalam kemakmuran dan kekayaan negara secara saksama.

“Rakyat Malaysia mahukan negara yang menjunjung prinsip keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kedaulatan undang-undang.

“Mereka mahukan Malaysia yang bersahabat dengan semua dengan tidak bermusuh dengan sesiapa, Malaysia yang kekal neutral dan berkecuali,” katanya.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia juga mahukan negara yang sanggup menyuarakan pandangannya berhubung apa yang betul dan salah, tanpa gentar atau pilih kasih.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang menyebabkan seluruh dunia ‘merasai kesakitannya’.

Beliau menyelar sikap hipokrit negara kaya yang lantang bersuara mengenai kepentingan pasaran terbuka, tetapi menggunakan produk mereka bagi menjajah negara kecil yang industrinya masih muda.

“Produk biasa golongan miskin dikenakan pelbagai sekatan secara bijak sehingga tidak dapat memasuki pasaran golongan kaya.

“Contohnya, minyak sawit Malaysia, mereka yang kononnya mengambil berat ini lupa bahawa tindakan boikot mereka menafikan pekerjaan kepada ratusan ribu orang dan kehidupan yang baik,” katanya.

225 dibaca
Berita Harian X