Jumaat, 14 September 2018 | 9:00pm
DATUK Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus. - Foto NSTP

Tunai kewajipan untuk negara, kehakiman - Mohd Hishamudin

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Hishamudin Mohd Yunus, menyifatkan pelantikannya sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebagai satu tugas yang berat dan penting untuk negara khususnya terhadap badan kehakiman.

Katanya, walaupun memahami tanggungjawab bakal dipikul adalah berat, beliau akan berusaha menjalankan kewajipan seperti yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.

Saya bersyukur dan gembira dengan perlantikan ini... Bagi saya, ia adalah suatu penghormatan,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman ditubuhkan di Malaysia pada 2009 untuk memastikan pemilihan calon kehakiman yang tidak berat sebelah untuk pertimbangan Perdana Menteri, yang mempunyai kata pemutus berhubung pelantikan hakim ke mahkamah tertinggi di negara ini.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan bahawa Mohd Hishamudin dilantik sebagai anggota JAC berkuatkuasa 4 September lalu.

Mohd Hishamudin yang berasal dari Johol, Negri Sembilan, bersara wajib sebagai hakim mahkamah rayuan pada 8 September 2015. Beliau dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 1992 dan hakim mahkamah tinggi pada 1995 manakala pada April 2009, dilantik sebagai hakim mahkamah rayuan.

Antara keputusan penting Mohd Hishamudin adalah penghakiman Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober 2011 yang memutuskan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan majoriti 2-1 itu, Mohd Hishamudin berpendapat Seksyen 15(5)(a) berhubung larangan itu tidak munasabah dan tidak dapat melihat bagaimana sokongan atau bangkangan pelajar ke atas mana-mana parti politik boleh memudaratkan kepentingan atau moral awam.

Pada Oktober 2007 pula, beliau selaku hakim mahkamah tinggi memerintahkan Kerajaan Malaysia membayar ganti rugi RM2.5 juta kepada seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana penahanan salah 57 hari dan diserang serta dicederakan pada September 1998.

Dalam keputusan kali pertama mahkamah membabitkan perintah ganti rugi terhadap tahanan ISA, Mohd Hishamudin berkata, penahanan dan pengurungan plaintif oleh polis tidak sah kerana dia tidak dimaklumkan alasan penahanannya seperti dikehendaki Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

737 dibaca
Berita Harian X