Rabu, 15 Ogos 2018 | 5:32pm
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia ( MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Ramdzan Masiam

MCPF sokong penggunaan bahasa Inggeris

BUKIT MERTAJAM: Usaha memperkasakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sebagai langkah bersesuaian dalam menguasai cabaran berkomunikasi secara global.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia ( MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata tindakan itu selari dengan hasrat kerajaan yang mahu memacu Malaysia sebagai sebuah negara maju pada masa akan datang.

Katanya, tindakan itu antara lain mampu menguji tahap kecekapan pegawai kanan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, selain ia wajar diperluas ke agensi, jabatan dan kementerian lain.

“Penggunaan bahasa Inggeris ini juga perlu diperluaskan kepada pegawai atasan bagi memastikan komunikasi dua hala menggunakan bahasa Inggeris yang berkesan dapat diwujudkan. Ia tidak menjadi suatu masalah dan tak seharusnya dijadikan isu.

“Bagaimanapun, ia tidak memberi gambaran atau ancaman kepada bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris perlu diberi sokongan kerana ia adalah bahasa pengantara global,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

PDRM dilapor akan menggunakan bahasa Inggeris dalam taklimat operasi harian, termasuk dalam peperiksaan, membabitkan pegawai kanan dan ketua polis daerah, berkuat kuasa semalam.

Ia seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mahu pegawai tertinggi dalam pentadbiran kerajaan mahir berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris, bagi membentuk Malaysia Baharu.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, pejuang bahasa Melayu seharusnya membangkitkan perbahasan berhubung penggunaan bahasa rojak, khususnya dalam kandungan program di televisyen dan radio yang disifatkan sebagai membimbangkan.

Katanya, penggunaan bahasa rojak kini dilihat sudah menjadi ikutan dan diterima secara meluas oleh masyarakat, sekali gus memberi pengaruh tidak baik kepada golongan muda yang dilihat terikut-ikut dengan amalan berkenaan.

“Pandangan saya, penggunaan bahasa rojak ini adalah lebih tidak sihat dan perlu perhatian yang lebih berbanding penggunaan bahasa Inggeris dalam pentadbiran. Ini kerana, penggunaan bahasa rojak akan menghakis identiti bahasa Melayu.

“Saya juga menyeru supaya kerajaan ikhtiar usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar di semua sekolah jenis kebangsaan dan sekolah menengah jenis kebangsaan di negara ini. Ia bukan suatu yang mustahil dan saya sendiri mampu menguasai empat bahasa dengan baik,” katanya.

466 dibaca
Berita Harian X