Selasa, 14 Ogos 2018 | 1:08pm
TAN Sri Muhyiddin Yassin tiba di Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Muhyiddin rindu nak hadir mesyuarat Kabinet

KUALA LUMPUR: “Jumaat ni mungkin saya cuba hadir mesyuarat Jemaah Menteri (Kabinet), lama tak hadir rasa rindu sikit.

“Selepas itu saya akan tentukan macam mana untuk menguruskan rawatan dan kerja saya.”

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersyukur kerana dapat kembali bertugas dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Pagoh di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, pagi tadi.

Muhyiddin turut menjelaskan, tahap kesihatannya kini bertambah baik walaupun dalam proses pemulihan selepas pembedahan ketumbuhan pankreas, bulan lalu.

“Alhamdulillah, saya dapat hadir ke Parlimen untuk membaca sumpah Ahli Parlimen. Dengan ini, saya boleh menjalankan tugas baik di Parlimen atau di luar untuk urusan rakyat.

“Keadaan kesihatan saya bertambah baik walaupun dalam proses pemulihan. Doktor nasihatkan untuk mengambil masa mengembalikan kekuatan, kalau boleh makan lebih sedikit dan melakukan fisioterapi,” katanya ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Muhyiddin bakal menjalani rawatan kimoterapi atas nasihat pakar onkologi selepas Aidiladha ini.

“Pakar menyatakan lebih baik selepas pembedahan. Kanser pankreas dikatakan perlukan rawatan kimoterapi 12 kali dalam tempoh enam bulan.

“(Rawatan) ini akan saya lakukan di Singapura dan Malaysia dengan ada doktor pakar membantu rawatan diperlukan.

“Sementara itu, saya perlukan bantuan psikologi semangat kawan-kawan untuk melawan penyakit ini dan kembali sihat, itu saja,” katanya.

Muhyiddin berkata, kehadirannya ke Parlimen hari ini hanya untuk majlis angkat sumpah dan belum bertugas sepenuhnya.

Katanya, keadaan itu sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Jika saya tidak hadir di Parlimen sehingga 60 hari, kerusi saya (Pagoh) akan diisytiharkan kosong.

“Bila saya mula bekerja, akan bergantung kepada tahap kesihatan. Jika saya semakin sihat, saya akan kembali bekerja, buat kerja ringan, hadir mesyuarat tak panjang dan ini semua atas nasihat doktor.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi seluas-luas ruang untuk saya berehat. Dia kata jangan fikir apa-apa, jaga kesihatan,” katanya.

1070 dibaca
Berita Harian X