Ahad, 12 Ogos 2018 | 10:04am
RAFIZI Ramli. - Foto Syarafiq Abd Samad

Cara kerja dorong Rafizi bertanding

Pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dikatakan mewujudkan dua kem dalam parti itu.

Wartawan BH Ahad, ROHANIZA IDRIS dan SYED UMAR ARIFF menemu bual salah seorang calon jawatan itu yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bagi mendapatkan pandangannya mengenai perkara itu serta menyatakan tawaran beliau sekira terpilih pada pemilihan itu nanti.

Ikuti wawancara itu yang turut menyentuh mengenai isu semasa dan pandangan umum terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mengambil alih kerajaan.

Soalan (S): Mengapa saudara berminat untuk bertanding Timbalan Presiden?

Jawapan (J): Perkara ini lebih kepada permintaan dan musyawarah dengan sahabat dan kepemimpinan peringkat akar umbi. Saya banyak habiskan masa empat lima tahun kebelakangan ini bekerja dan membantu calon PKR di luar Selangor dan di negeri yang Pakatan Rakyat (PR) tidak menang seperti di Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

Jadi, selepas pilihan raya itu, ada pandangan rakan yang meminta supaya ada jawatan Timbalan Presiden dipertandingkan kerana mereka berasakan ada dua aliran berbeza dalam PKR.

Saya sendiri dilihat sebagai ligat bekerja pada peringkat akar umbi dengan cara saya bekerja berbeza dengan pendekatan cara saudara (Datuk Seri ) Mohamed Azmin Ali yang memimpin kerajaan negeri pada masa itu.

Soal saya menawarkan diri bertanding kali ini adalah isu mengenai bagaimana PKR boleh diuruskan pada masa datang. Saya mengambil pandangan kawan yang menilai cara saya bekerja. Akhirnya saya bersetuju bertanding jawatan Timbalan Presiden.

S: Benarkah pencalonan saudara sebagai Timbalan Presiden ini kerana ia adalah cita-cita politik untuk berada dalam kepemimpinan tertinggi parti?

J: Saya orang korporat sebelum menyertai PKR. Ramai tidak faham dengan asal usul PKR. Apabila reformasi pada 1998, sebahagian besar kepemimpinan PKR ketika itu adalah anak muda seperti saya yang tidak ada pandangan dan cita-cita politik kerana kami orang korporat, profesional dan aktivis.

Selepas 20 tahun, kami bukan lagi memikirkan soal politik sahaja, tetapi semangat setiakawan dengan kepemimpinan di akar umbi.

Semangat setiakawan ini semakin kukuh, maka apabila mereka meminta saya bertanding adalah tidak mudah untuk saya menolak lebih lagi kedudukan semasa yang sukar untuk saya aktif semula dalam sektor korporat. Kesediaan bertanding ini bukannya soal mendapatkan kuasa atau mencapai cita-cita politik.

Ini lebih kepada gaya dan bentuk kerja saya dikatakan sesuai untuk bergandingan dengan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim (menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR).

Pada masa sama, ada juga kumpulan berasakan gandingan Azmin itu juga sesuai dengan Anwar. Maka, tidak timbul soal cita-cita politik, tetapi siapa yang menjadi pilihan akar umbi parti dan gandingan yang mana mereka rasa lebih baik.

S: Adakah pencalonan saudara kali ini kerana sudah mendapat restu daripada Anwar?

J: PKR ini bukan parti bergantung kepada restu daripada kepemimpinan parti, tidak seperti UMNO.

Pandangan Anwar itu adalah pandangan dia dan anggota parti perlu menghormati pandangan itu. Anwar dan Presiden PKR kini, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah tahu mereka tidak boleh campur tangan atau mendedahkan sokongan mereka kerana ia akan mencorakkan pengundian. PKR parti yang menetapkan satu anggota, satu undi.

Dalam PKR walaupun ada dua aliran berbeza ini, pertandingan tetap diraikan. Sebab itu, tiada budaya mendapat restu ini dan tidak timbul soal dapat restu atau tidak.

Saya mengakui ada perbincangan peribadi dengan Anwar dan Dr Wan Azizah, tetapi hasil perbincangan itu adalah soal peribadi saya dengan mereka, maka tidak perlu diumumkan.

Apa yang penting dalam pemilihan PKR ini adalah persaingan sihat dan adil untuk semua yang bertanding. Saya tahu Anwar tidak melayan manamana pihak dalam isu restu ini kerana beliau mahu berlaku adil kepada semua.

Apa pandangan Anwar terhadap saya lebih wajar ditanya kepada beliau sendiri dan tidak adil untuk saya menterjemahkan pandangannya itu. Sesiapa yang bertanding tidak boleh menyatakan mereka mendapat restu Anwar, kerana itu tidak berlaku adil kepada orang lain yang sama bertanding.

S: Kenapa saudara mengumumkan kem atau pasukan dalam pemilihan kali ini. Tidakkah tindakan itu akan mewujudkan bibit keretakan dan perpecahan dalam parti?

J: Pandangan yang menyatakan pasukan persaingan dalam pemilihan akan mewujudkan bibit perpecahan itu adalah budaya dan mentaliti yang dikaitkan dengan UMNO. PKR adalah parti yang meraikan perbezaan pendapat sejak dari dahulu lagi.

Sejak kebelakangan ini, ada pertembungan pandangan yang tajam mengenai hala tuju PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Saya yang bertanggungjawab bersama-sama menubuhkan PH, mempertahankan PH dan citra PKR sebagai parti pelbagai bangsa. Saya juga dengan tegas menyatakan untuk PRU-14, PKR dan PH perlu menghadapi pertandingan tiga penjuru kerana ia baik untuk parti.

Di satu pandangan lain, seperti pasukan Azmin, Yang Berhormat (YB) Zuraida, YB S Sivarasa dan Tian Chua mereka mahu kita merenggang hubungan dengan PH sebaliknya lebihkan PAS serta mengelakkan pertandingan tiga penjuru sebaik mungkin.

Kedua-dua pandangan ini ada hujah masing-masing, tetapi itu tidak menyebabkan PKR berpecah sebaliknya kami mempertahankan pandangan dan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Azmin ketika itu diberi tanggungjawab menguruskan Selangor dan saya pula memberi tumpuan kepada kawasan di luar Selangor, akhirnya kedua-dua cara mendapat keputusan yang baik. Dalam PKR, pandangan tajam adalah amalan biasa, tidak meretak dan memecahkan parti malah berdasarkan prestasi menguatkan parti.

Apabila kita bertanding dengan pasukan kita, itu mewakili aliran pandangan sama. Untuk menguruskan satu-satu organisasi, pasukan perlu ada satu hala tuju yang jelas ke arah mana parti akan bergerak.

Pimpinan yang bersama saya berasakan perlu mempertahankan idealisme reformasi dalam PH, lebih tegas dalam kerajaan, perlu mempertahankan citra pelbagai kaum dalam PKR dan terus mempertahankan PH, mengukuhkan akar umbi walaupun sudah menjadi kerajaan.

Pasukan satu lagi, mereka mementingkan kepada prestasi dan tugas mereka dalam kerajaan. Kedua-dua pasukan ini masuk akal.

Dalam kalangan kepemimpinan parti juga ada yang berpandangan sama dengan saya - mempertahankan perjuangan reformasi dan ada juga yang setuju dengan Azmin.

Jadi tidak timbul soal pasukan dan kem boleh mewujudkan keretakan kepada parti. Saya tidak setuju dengan teguran yang meminta saya tidak terbuka mengumumkan pasukan saya.

S: Tidakkah tindakan pengumuman dan tindakan anda dalam media sosial memaparkan gambaran keakraban dengan Dr Wan Azizah sebagai taktik ‘nakal’ berkempen?

J: Rakyat dan anggota parti boleh menilai, sudah tentu mereka akan menilai saya melalui cara berkempen, dari segi hujah kami dan rancangan kami, saya lebih suka pertandingan tertumpu kepada yang itu, persaingan idea jelas dan terang.

Kalau kita yakin dengan semangat Malaysia baharu yang kita bina, kita mesti yakin dengan pilihan dan keupayaan anggota parti membuat pilihan tepat. Sebab itu, kena ada gerak kerja dan pandangan yang jelas bukan kabur.

Pertandingan dalam parti ini bukan soal mendapat jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR saja, tetapi melambangkan bentuk sumbangan yang boleh dilaksanakan untuk mengukuhkan parti.

Dengan mengumumkan pasukan yang nyata, hala tuju, idea serta gerak kerja yang ada, mudah untuk anggota parti membuat pilihan. Pertandingan ini adalah mengenai idea, rancangan, gerak kerja bukannya soal personaliti, individu dan identiti.

S: Apakah tawaran saudara untuk parti?

J: Saya mengemukakan empat tawaran untuk pemilihan kali ini. Satu, gandingan kepada Anwar itu mereka yang taat dan boleh bekerjasama dengan beliau kerana dalam waktu terdekat, beliau akan menjadi Perdana Menteri.

Beliau galas reformasi 20 tahun, akar umbi menilai betul-betul jadi nombor dua dan taat serta memberi nilai tambah kepada kepemimpinan Anwar. Saya seorang jelas ada hubungan kerjasama dan rapat dengan Anwar sejak kami sebagai pembangkang.

Kedua, saya tawarkan untuk terus mengukuhkan kedudukan PH dan PKR. Saya akan terus berkempen di akar umbi seolah-olah kita bukan parti kerajaan, terutama di negeri yang belum kita menang.

Bahayanya apabila menang, ramai yang lupa kita sebenarnya tidak menang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, Sarawak dan Perlis. Ada kemungkinan PKR akan terabai di negeri ini. Dari satu sudut dengan tiada kedudukan dalam kerajaan, saya boleh menguruskan masa sendiri, perniagaan saya, maka saya ada banyak masa membolehkan saya membina jentera dan kekuatan di negeri itu.

Perancangan itu perlu bermula dari sekarang dan tidak boleh kita tunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). Kita perlu mengukuhkan kedudukan parti pada PRU-15.

Ketiga, saya tawarkan kepada anggota keperluan berpegang teguh kepada idealisme supaya tanggungjawab, kuasa dan ruang baru yang ada di Putrajaya itu tidak melunturkan parti dengan budaya yang diwarisi daripada UMNO dahulu seperti budaya kerajaan feudal, budaya payung memayung, menyalahgunakan kedudukan awam bagi membina pengaruh politik, campur tangan dalam lantikan kerajaan yang dilihat berat sebelah dan tidak menghormati akar umbi.

Keempat, saya tawarkan untuk mengusahakan satu koperasi untuk ahli parti. Selama 20 tahun ini, yang membina PKR adalah orang akar umbi, mereka ini yang banyak merasakan sengsara dan pahit maung berjuang untuk reformasi pada 1998-2008.

Mereka ini tidak merasa apa-apa walaupun selepas 2008 kita sudah menang di Selangor dan beberapa kawasan. Mereka ini pun tidak meminta apa-apa. Sebelum ini kita ada bercakap mengenai kebajikan mereka ini, diingatkan terus berjuang kerana kita pembangkang yang tiada sumber.

Ahli perlu berpegang teguh kepada idealisme

Maka, saya berasakan sudah sampai masanya kerana kita pun sudah menjadi kerajaan, maka kita perlu tubuh koperasi’ membolehkan kita jaga kebajikan ahli tanpa menggunakan duit kerajaan.

Saya pun tidak setuju, kalau sumber awam dan kerajaan disalahgunakan seperti diamalkan kerajaan terdahulu. Saya tidak mahu seperti diamalkan dulu, selepas seseorang itu menang, mereka mula mengutip ’macai’ mereka dan diberikan jawatan dalam kerajaan sedangkan mereka tidak layak.

Kita mahu merintis budaya baharu dan menjaga kebajikan anggota kita kerana mereka ada jasa yang besar kepada parti.

Kita tubuhkan koperasi ini dengan sasaran dalam tempoh setahun mempunyai modal berbayar RM50 juta. Daripada situ nanti, kita akan tawarkan mikro kredit, latihan keusahawanan dan berniaga serta memberikan peluang pekerjaan kepada yang layak dan sebagainya.

Saya ada sedikit kemahiran dan kepakaran mengenai perkara itu selain mempunyai masa dan ruang yang lebih untuk menumpukan kepada kebajikan ahli ini berbanding saudara Azmin yang menjawat jawatan dalam kerajaan.

S: Apakah keyakinan saudara terhadap kemampuan untuk menang memandangkan bukan lagi Ahli Parlimen dan tiada jawatan dalam kerajaan?

J: Kalau kita masih terikat dengan budaya lama yang ada dalam kebanyakan parti seperti UMNO, orang yang tiada jawatan dalam kerajaan seperti saya memang sukar untuk menang. PKR ini berbeza, parti yang terbuka. Saya menaruh harapan anggota parti akan memberi ruang pertembungan idea dan atas dasar itu saya ada kelebihan tersendiri.

Kelebihan saya, adalah hubungan saya dengan akar umbi. Secara keseluruhannya memang satu kelebihan kepada calon yang berada dalam kerajaan, tapi saya bernasib baik dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini banyak menghabiskan masa di akar umbi dan mempunyai hubungan yang erat dengan mereka.

S: Bagaimana dengan gossip mengenai ada percaturan dalam kalangan kepemimpinan utama parti yang mahu saudara menang kerana lawan saudara ada percaturan lain dengan Perdana Menteri?

J: Saya ada mendengar desas desus yang mengaitkan Azmin dengan Tun Dr Mahathir. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain untuk menjawab perkara ini.

Hanya Azmin dan Dr Mahathir yang boleh menjawabnya. Ini mungkin ada kaitan isu pelantikan anggota Kabinet yang mana ada nama yang dicadangkan parti tidak dilantik sebagai menteri manakala nama lain dilantik atas budi bicara Perdana Menteri.

Perkara ini tidak boleh dielakkan untuk diperkatakan di akar umbi, yang mengaitkan Azmin dengan Dr Mahathir itu. Adakah itu kebaikan atau beban kepada PKR? Isu ini wujud kerana persepsi saja dan ia menjadi salah satu perkara yang dinilai anggota parti dalam pemilihan kali ini. Ini semua soal persepsi.

S:Dengan perkembangan terbaharu yang mana Datuk Seri Anwar sudah diumumkan menang tanpa bertanding Presiden PKR dan beliau membayangkan dalam masa terdekat akan kembali menjadi Ahli Parlimen. Perlukah, Dr Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri sebaik cukup tempoh dua tahun?

J: Itu tertakluk kepada persetujuan, muafakat dan ketetapan PH. Persetujuan bersama itu menetapkan Dr Mahathir akan menjadi Perdana Menteri ketujuh, kemudian Datuk Seri Anwar dibebaskan secepat mungkin dan diberikan keampunan di Raja supaya beliau boleh turut serta dengan segera dalam politik seterusnya menjadi Perdana Menteri kelapan. Tidak pernah dibincangkan tempoh masa dan tidak pernah ada perjanjian secara bertulis mengenai tempoh masa untuk Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Tempoh dua tahun itu disebut Dr Mahathir sendiri. Saya terbabit dalam draf PH, konsensus tidak menentukan lama mana Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan bila perlu meletakkan jawatan itu.

Saya setuju supaya Anwar tidak berlengah kembali sebagai Ahli Parlimen namun hanya menjadi penyokong kerajaan saja tidak memegang jawatan Kabinet.

Dalam proses peralihan kuasa ini, kita tidak boleh buat dengan drastik atau tergesa-gesa, perlu dijalankan dengan cermat dan teratur.

Jika ada peralihan nanti, sekurang-kurangnya Datuk Seri Anwar sudah bersedia dan menjadi ahli Parlimen dan tidak perlu lagi tergesa-gesa menjadi ahli parlimen.

Ada orang yang mempersoalkan kemungkinan ada campur tangan Anwar dalam pentadbiran Dr Mahathir jika sudah berada di parlimen. Bagi saya perkara itu tidak berbangkit kerana kalau kita benar-benar menghargai ketiga-tiga cabang dalam pentadbiran negara, perkara ini tidak berlaku.

Datuk Seri Anwar akan berada dalam cadang perundangan, banyak yang boleh beliau buat untuk reformasi Parlimen seperti mewujudkan jawatankuasa pilihan, kembalikan kuasa kepada Ahli Parlimen, menaikkan mutu perbahasan dan perdebatan di Dewan Rakyat.

Maka, kepulangan Datuk Seri Anwar ke Parlimen itu satu yang biasa sebagai persediaan untuk peralihan kuasa. Keputusan Anwar itu sesuatu yang biasa bukan satu tindakan tidak masuk akal dan mengejut kerana bukan dengan menjadi Ahli Parlimen, esok sudah boleh menjadi Perdana Menteri.

Lebih baik Anwar menjadi ahli parlimen biasa yang dapat bantu rakyat dan membawa suara rakyat ke Dewan Rakyat buat masa ini. Kita ada dua tokoh besar dalam kerajaan yang masing-masing menjalankan kerja besar mereka, kuasa eksekutif dan parlimen.

Dr Mahathir boleh tumpu pada pentadbiran negara dan membaiki semua kepincangan yang berlaku dan Anwar tumpu pada Dewan Rakyat membela nasib rakyat. Ini semua persediaan dengan mengambil kira umur Dr Mahathir, banyak perkara perlu diambil kira.

Kita kena lebih berhati-hati, lebih cermat dan bersedia. Anwar boleh saja masuk ke dalamKabinet melalui jalan Senator tetapi itu tidak membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri jika peralihan kuasa berlaku. Kami di PKR ini lahir di jalan raya, maka matlamat untuk menjadi menteri atau

Perdana Menteri itu tidak ada, kami mahukan sebanyaknya reformasi berlaku dalam pentadbiran negara. Ada banyak benda yang boleh dikembalikan kepada rakyat bagi memastikan institusi kerajaan itu kukuh, ini lebih besar penting daripada cita-cita menjadi PM. Kita tidak mahu mengulangi kesilapan pentadbiran lalu. Budaya ini perlu ditukar.

S: Adakah saudara berkenan dengan cara Dr Mahathir mentadbir negara sekarang kerana dulu ramai yang melabelkannya sebagai pemerintahan kuku besi macam mula-mula beliau menjadi Perdana Menteri?

J: Saya tidak rasa beliau mentadbir secara kuku besi, saya rasa cara beliau mentadbir kerajaan kini berbeza dengan cara pada awal 1980-an dan 1990-an dulu. Bezanya dari segi jurang pendapat mengikuti generasi. Orang seperti saya mahukan perubahan yang lebih cepat dan

Dr Mahathir menyatakan perlu dijalankan dengan teliti dan berhati-hati. Saya boleh memberi ruang kepada Kabinet Dr Mahathir dan mereka perlu mencuba sebaik yang mungkin dalam menjalankan kerja.

Saya juga faham untuk mengelakkan budaya bagi cek kosong kepada jemaah Menteri, maka pemimpin PH, media dan orang ramai perlu menegur mereka. Saya percaya Dr Mahathir boleh menerima teguran orang parti seperti saya.

Saya ada tidak setuju dengan rancangan kereta nasional ketiga, kerana ia tidak ada dalam manifesto janji PRU-14 dan saya minta mereka lebih baik menumpukan kepada isu harga minyak, kenaikan gaji dan usaha menurunkan harga barang.

Itu pendapat saya dan nampaknya Dr Mahathir tidak mengenakan apa-apa tindakan dengan pendapat saya itu. Pada saya asalkan jemaah menteri memenuhisegalakemahuan dan harapan orang ramai itu sudah memadai dan saya cukup puas hati.

Memang menjadi sesuatu yang mencabar kerana ada banyak kekangan dan lagi pun baru beberapa bulan kerajaan PH mengambil alih dan kebanyakan mereka tiada pengalaman sebagai menteri. Pada saya, jika ada usaha dan semua pihak memainkan peranan serta tidak mengabaikan platform dasar utama, itu sudah bagus.

Saya berpuashati dan harapan saya kita tidak boleh lari soal harga barang, harga minyak dan memulihkan kedudukan ekanomi. Walaupun ada kekangan, semua bersungguh melaksanakannya.

S: Lima hari lagi cukup tempoh 100 hari pentadbiran PH, namun ada banyak janji manifesto tidak dilaksanakan? Apa yang perlu dilakukan dan bolehkah kita menggunakan alasan hutang kerajaan dulu bernilai RM1 trilion sebagai modal tidak melaksanakan janji itu?

J: Saya rasa ada sesetengah janji tidak dapat ditunaikan dalam tempoh yang ditetapkan seperti isu membabitkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya tidak rasa rakyat akan mendesak mempercepatkan soal ini kerana kita memerlukan masa melaksanakannya.

Lebih penting kerajaan bersungguh-sungguh memastikan janji itu dilaksanakan. Saya lebih bimbang jika janji itu tidak dilaksanakan dan diletakkan ke tepi apabila ada kekangan untuk melaksanakannya.

Kita mungkin tidak dapat laksanakan dalam tempoh 100 hari tetapi mungkin boleh melaksanakannya dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

Contohnya PTPTN, lebih penting untuk kita mereformasi tabung ini untuk sistem pendidikan tinggi bagi meringankan beban ramai untuk melanjutkan pelajaran peringkat tinggi. Pada masa sama sama, kita merancang pendidikan percuma untuk pendidikantinggi kepada orang ramai.

Apa pun, jangan biarkan perancangan terbiar begitu saja tanpa apa-apa perkembangan kerana ini akan menyebabkan ramai marah dan tidak percaya kepada kerajaan.

S: Perlukah kerajaan terus menggunakan alasan hutang sebagai kekangan melaksanakan janji manifesto?

J: Saya rasa rakyat perlu tahu mengenai keadaan kewangan negara. Tetapi ada had untuk berapa lama alasan itu (hutang) akan diterima oleh rakyat. Sebagai contoh, jika kita memasuki rumah, bumbungnya bocor dan tingkap rosak. Pada mulanya, tentu saja, orang akan mengakui bahawa rumah itu berada dalam keadaan buruk.

Tetapi jika keadaan berterusan selama dua tahun lagi, orang akhirnya akan meminta untuk anda keluar dan berpindah. Mengapa perlu anda masih tinggal di sana? Saya bersetuju untuk menyatakan keadaan kewangan negara kepada rakyat, tetapi mesti dilakukan dengan bijaksana dan berhati-hati. Saya percaya rakyat bijak menimbangkan secara adil dan menerima alasan yang diberikan.

S: Tun Dr Mahathir nampaknya beri tanggungjawab besar pada Azmin. Ramai yang menyatakan Tun M mahu ‘groom’ Azmin sebagai Perdana Menteri. Apa komen?

J: Pada saya, kena pisah parti dengan dan pentabiran negara. Soal siapa yang dilantik menjadi menteri, itu adalah keputusan Perdana Menteri.

Kalau tanya saya, pelantikan menteri itu bergantung kepada dua perkara iaitu pencalonan oleh parti masing-masing selepas ada perundingan dalaman dan keduanya itu budi bicara Perdana Menteri untuk melantik siapa yang dirasakannya sesuai.

Oleh kerana itu ia budi bicara Perdana Menteri sudah tentu kita tidak boleh elak pandangan bawah yang mengaitkan individu tertentu dengan Dr Mahathir. Azmin tidak boleh lari dari pandangan itu.

Persoalannya adakah hubungan rapat dengan Tun Mahathir itu satu kebaikan dan bebanan kepada beliau di dalam PKR. Dalam pemilihan PKR itu seorang Timbalan Presiden yang bergandingan dengan Anwar mestilah sehati sejiwa dengan beliau.

Bagi saya akan wujud persepsi di bawah dan akan menjadi antara perkara dinilai anggota parti dalam pemilihan kali ini.

2047 dibaca
Berita Harian X