Selasa, 24 Julai 2018 | 7:13pm
KLINIK 1 Malaysia USJ 1, Subang Jaya masih beroperasi seperti biasa. - Foto Zunnur Al Shafiq
KLINIK 1 Malaysia Seksyen 24, Shah Alam masih beroperasi seperti biasa. - Foto Sairien Nafis
KLINIK 1 Malaysia Damansara Damai akan mula menamatkan operasi pada 16 Ogos 2018 ketika tinjauan di Klinik 1 Malaysia. - Foto Hafiz Sohaimi

Penutupan Klinik 1Malaysia belum muktamad

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan belum memuktamadkan atau memberi arahan penutupan terhadap beberapa Klinik 1Malaysia di Lembah Klang seperti yang ditularkan di media sosial hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya masih menjalankan proses kaji semula dan keputusan itu masih perlu dimurnikan sebelum dimuktamadkan oleh pengurusan tertinggi kementerian.

"Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara ini dan kementerian memberi jaminan proses penutupan klinik yang berkaitan di bawah penjenamaan semula ini akan dijalankan dengan tertib bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang diberikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Notis penamatan perkhidmatan Klinik 1Malaysia Damansara Damai, Klinik 1Malaysia Seksyen 24 Shah Alam, Klinik 1Malaysia Kelana Jaya; Klinik 1Malaysia USJ 1 Subang Jaya dan Klinik 1Malaysia Puchong Jaya tular hari ini.

Berdasarkan notis terbabit, tarikh penutupan bagi klinik berkenaan adalah antara 16 Ogos dan 1 September.

Notis itu turut mencadangkan kepada pesakit supaya mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan lain yang berhampiran.

Dr Noor Hisham berkata, penubuhan Klinik 1Malaysia bertujuan meningkatkan akses kesihatan primer di kawasan bandar, khususnya komuniti berpendapatan rendah.

Menurutnya, sejumlah 347 Klinik 1Malaysia beroperasi di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan bukan saja kepada golongan sasar, malah kepada setiap golongan masyarakat setempat.

"Seperti diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini, kementerian sememangnya sedang dalam proses untuk mengkaji semula Klinik 1Malaysia di mana akan dilakukan penjenamaan semula dengan nama Klinik Komuniti.

"Dalam proses semakan semula ini, kementerian turut meneliti sama ada perlu menaik taraf beberapa Klinik Komunti ini kepada Klinik Kesihatan, menempatkan lebih ramai Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi/Pembantu Pegawai Farmasi ke Klinik Komuniti secara berperingkat.

"Kita juga mungkin menutup beberapa Klinik Komuniti yang gagal memenuhi syarat tertentu, antaranya kerana jumlah kedatangan pesakit yang rendah, keberadaan fasiliti kesihatan lain yang berdekatan dan sewa atau kos operasi tinggi," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, Klinik 1Malaysia yang kini dikenali sebagai Klinik Komuniti akan dinaikkan taraf dari segi sektor operasi dan keluasannya menjelang hujung tahun ini.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat kajian audit terlebih dulu bagi menentukan sama ada sesuatu kawasan itu memerlukan klinik berkenaan atau sebaliknya.

3152 dibaca
Berita Harian X