Sabtu, 14 Julai 2018 | 4:46pm
Mohd Sirhajwan Idek (kiri) dan Christ Ronny Harry muncul naib juara Anugerah Kecemerlangan Inovasi Dalam Pengajaran Metodologi Kajian di Rom, Itali, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Pensyarah KV Keningau harumkan nama negara di Rom

KUALA LUMPUR: Dua pensyarah Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, muncul naib juara Anugerah Kecemerlangan Inovasi Dalam Pengajaran Metodologi Kajian di Rom, Itali, malam tadi.

Mohd Sirhajwan Idek dan Christ Ronny Harry mengharumkan nama negara selepas berdepan saingan finalis dari United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), New Zealand serta Portugal pada pertandingan bertaraf antarabangsa itu.

Mereka yang juga pensyarah Bahasa Inggeris, membentangkan kajian bertajuk 'Exposure, Experience, Exploration: Maximising Learning With Real World Opportunities and Platforms'.

Mohd Sirhajwan berkata, kajian kes itu ditulis bersama Pengarah KV Keningau, Johari Sabin, dan dua pensyarah, Anita Mohd Yassin serta Albert Tajo Miva.

Katanya, pencapaian itu menyusuli kejayaan KV Keningau memenangi empat pingat emas dan anugerah khas menerusi empat pensyarah serta dua pelajar pada Pertandingan Inovasi Dunia di Seoul, Korea Selatan, 3 Jun lalu.

"KV Keningau juga akan bertanding pada International Young Inventors Award di Bali, Indonesia, September depan," katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada NSTP, hari ini.

Pertandingan akhir itu diungguli peserta UK, Suzzane Mark dan Saunders Mark, manakala tempat ketiga dimenangi Haddock Miller Julie serta Holly Bennett juga dari UK.

Finalis lain ialah Au Yong Oliveira Manual dari Portugal, Hernandez Alejandro (AS) dan Daniel Ben (New Zealand).

Mohd Sirhajwan adalah graduan program berkembar Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu, dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam .

Kemenangan di Rom itu adalah kejayaan antarabangsa beliau yang ke-11.

Sebelum ini, anak kelahiran Kota Belud itu pernah meraih lima anugerah di Dubai, Paris, Brighton, Norwich dan Seoul, serta menjadi finalis lima lagi pertandingan antarabangsa.

950 dibaca
Berita Harian X